Sunday 17 May 2015

Tips Untuk Bermula Bisnes Kecil-Kecilan Di Rumah

Teks : Norlia Amat Mohtar


Assalamualaikum.


Perkongsian kali ini adalah bagaimana saya bermula bisnes kek secara kecil-kecilan di rumah. Memang belum berjaya sepenuhnya tetapi saya sedang dalam fasa "survival". Tiga tahun pertama adalah fasa yang sangat kritikal bagi setiap perniagaan. Manakala bisnes pertama, mungkin tidak akan berjaya juga lebih tinggi kerana kita baru bermula dan tiada lagi ilmu bisnes yang kukuh, mungkin cara pemasaran kita yang lemah atau produk yang ingin kita jual tiada permintaan. Apabila bisnes kita telah mencapai usia 6 bulan, dan masih tidak nampak peningkatan, perlu disemak semula dimana silapnya.

Untuk memulakan sesuatu bisnes sebenarnya bukan mudah. Bagi saya ia lebih kepada proses mengambil duit orang lain yang memerlukan khidmat atau produk kita. Perkara utama yang perlu diteliti adalah duit  siapa sebenarnya yang mahu kita ambil. Maksudnya kita sasarkan siapa pembeli barang atau perkhidmatan kita. Seboleh-bolehnya jangan kita cari produk dahulu, cari masalah orang yang boleh kita selesaikan.

Kemudian senaraikan barang-barang atau perkhidmatan yang sesuai dan diperlukan oleh pembeli tersebut. Kata orang bijak pandai dalam marketing, "Jual barang keperluan harian yang paling biasa yang ada di rumah-rumah". Apa-apa barang harian. Contohnya seperti roti, lampin pakai buang, makanan, dll. Mulakan dengan modal yang sangat minima sebab kita baru hendak bermula. Seminima yang mungkin. Jika rugi tidaklah teruk sangatkan. Jika saya mahu memulakan bisnes bakeri, saya guna sahaja barang-barang yang memang sediaada di rumah seperti oven, mixer, loyang dan lain-lain. Duit yang saya perlukan adalah untuk membeli bahan-bahan mentah. Itupun saya minta wang pendahuluan daripada pelanggan tanda komitmen mereka. Bukannya apa, sekiranya tidak berjaya urusan jual beli tersebut tidaklah kita rugi terutama yang berbisnes dalam bidang pembuatan ini.

Marketing sangat penting semasa berbisnes. Jika orang tidak tahu kita menjual, masakan mereka mahu membelikan. Oleh itu, gunalah marketing yang betul untuk bisnes kita. Pada zaman yang serba serbi canggih ini, tetdapat banyak iklan yang percuma dan tidak memerlukan kita berjumpa pelanggan setiap hari. Semuanya boleh dibuat di alam maya. Contoh-contoh iklan yang tidak berbayar adalah seperti blog, fan page, fb dan insta. Blog boleh dijadikan sebagai kedai online kita. Kedai dan iklan sebegini amat sesuai bagi orang yang pemalu seperti saya tetapi masih mahu berniaga. Jadi saya tidak perlu untuk berjumpa dan memujuk pelanggan setiap hari untuk menjual.

Setakat ini sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Jangan malu jangan segan jika kita baru bermula. Jangan sesekali bandingkan kita dengan peniaga yang telah lama berbisnes, nanti kita kecewa dan putus-asa. Sebaiknya jadikan mereka contoh/guru dan kita perlu berada di landasan yang betul. Inshaa Allah kita juga akan berjaya seperti mereka. Diharap entri kali ini dapat membantu sesiapa yang baru untuk memulakan perniagaan pertama.


Saya boleh dihubungi melalui:

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 0192693070



No comments:

Post a Comment