Wednesday 16 December 2015

Resepi muffin Cip Coklat

Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi peribadi

Assalamualaikum.

Hari ini saya ingin berkongsi resepi muffin cip coklat. Muffin ni paling mudah disediakan. Cuma tambahkan bahan basah ke bahan kering. Adun sebati dan masukkan dalam  cawan muffin, dah boleh bakar. Tak perlu pukul kembang-kembang bagai. 

Kalau ada tetamu nak datang pun sangat senang disediakan.

Ini resepi yang saya guna.

Bahan kering

250 g tepung naik sendiri
3 sudu besar serbuk koko
150g cip coklat
175 g gula perang/castor

Bahan basah

250 susu segar/air
90 mL minyak masak
1 biji telur gred A
1 sudu kecil vanila

Cara-cara

1. Ayak tepung dan serbuk coklat.
2. Gaulkan semua bahan kering bersama
3. Buat lubang besar di tengah-tengah bahan kering dan masukkan semua bahan basah. Gaul sebati
4. Masukkan ke dalam cawan muffin dan bolehlah dibakar pada suhu 150C  selama 25 min.





Friday 11 December 2015

Sukatan Cawan dengan Menggunakan Sudu

Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.

Pagi di kampung sangat tenang dan damai. Dah pukul 8 pagi pun, cengkerik masih berbunyi, tak penat ke dari malam tadi berkerik. Maklumlah sekarang musim hujan, suasana pun redup dengan sejuk-sejuk nyaman. Anak-anak dan suami pun masih berguling kemalas-malasan. Macam ni lah aktiviti cuti sekolah bila balik kampung. Tapi yang penting “Alhamdulillah, Alhamdulillah dan Alhamdulillah”, walauapapun yang kita tempuhi sekarang, kita masih dapat menghirup udara segar, diberi nikmat sihat, nikmat keluarga dan semuanya. Alhamdulillah. Terima Kasih Allah.

Rasanya macam agak lama saya tak berkongsi tips baking. Hari ini saya nak kongsi sikit sukatan cawan yang boleh digantikan dengan menggunakan sudu. Saya faham, mungkin dikalangan pembaca yang singgah blog saya ada anak-anak kecil yang sangat suka bermain peralatan dapur. Bila datang mood baking atau ada tetamu hendak bertandang ke rumah dan kita pun nak baking, cari cawan atau sudu sukat dah hilang. Masa tu bukan main lagi mula nak menyinga kan. Hahaha. Saya selalu sangat menghadapi keadaan sebegini. Dan memang tak syak lagi anak-anaklah punya kerja.

Saya ingin mengurangkan tekanan anda sebelum baking. Baking sangat menyeronokkan tetapi kalau mood sebelum baking pun dah ke laut. Maka kelaut jugalah hasilnya. Oleh itu, diharap entri kali ini dapat memberi sedikit manfaat kepada yang memerlukan. Jika hilang cawan sukat, kita boleh menggunakan sudu untuk menyukat. Jika hilang sudu, gunalah cawan. Gitu. 



Saya akan tulis dan kumpulkan semua sukatan yang berkaitan supaya mudah untuk di buat rujukan. Tetapi hari ini saya Cuma sempat buat ukuran cawan dengan menggunakan sudu. Nanti saya akan update lagi.

Selamat berbaking. 


Thursday 10 December 2015

Victoria Sandwich Untuk Tersayang


Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi


Assalamualaikum.

Sudah masuk minggu ke tiga cuti sekolah akhir tahun ni kan. Cepatnya betul masa berjalan sekarang. Rasa macam banyak lagi kerja yang betum diselesaikan sebelum tahun baru 2016 menjengah. Wow..wowww. Kena bergerak dengan lebih pantas ni.

Kalau dulu, masa masih kerja bermajikan, cuti sekolah tak berapa nak heran sangat. Sebabnya, nak ambil cuti banyak pun tak boleh. Maklumlah kerja penyelidikan mana pernah habis selagi tak tutup projek. Rehat sekejap bila idea tersangkut atas pokok sawit. Tak ada idealah tu.

Tapi sekarang, kita rancang cuti kita sendiri. Nak cuti lama pun boleh nak cuti sekejap pun boleh. Yang penting mesti balik kampong. Jenguk mak ayah selagi mereka masih ada. Alhamdulillah. Setiap kali balik kampong, mesti saya bawa balik sebiji kek sebagai buah tanggan. Kek kegemaran mak, mestilah Kek Coklat Lembab (Moist Chocolate Cake) Resepi lihat di SINI. Kalau tak bawa balik apa-apa mesti dia tanya, “Kek tak ada ke”.

Tapi, balik kampong kali ini saya bawakan untuk dia Kek Karot Lembab (Moist Carrot Cake) Resepi boleh lihat di SINI. Mak tak pernah makan lagi kek karot yang saya buat. Dia kata sedap tapi dia tak boleh nak makan walnut yang saya masukkan. Maklumlah mak dah tua, gigi pun dah tak ada mana nak makan si kacang yang keras tu. Maaf mak, lain kali tak letak kekacang ye.


Saya boleh dihubungi seperti di bawah:


Wednesday 9 December 2015

Whiteboard buat sendiri di rumah

 Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi peribadi

Assalamualaikum.

Sudah 2 minggu lebih cuti sekolah akhir tahun 2015 rupanya. Cepat sungguh masa berlalu sekarang ni. Rasa macam baru je cuti. Aktiviti apa nak buat dengan anak-anak ye.

Saya dan suami buat whiteboard sendiri di rumah untuk anak sulung menulis, melukis dan menconteng. Almaklumlah budak tadika, nak paksa belajar sangat cuti sekolah nanti tertekan pula. Biarlah kita buat aktiviti santai-santai sikit.

Pusing-pusing cari whiteboard dekat pasaraya, harganya bukan main lagi. Bukannya boleh beli satu, mesti adik pun nak juga. kayu pun banyak, apalagi DIY lah whiteboard sendiri. Kosnya pun tak sampai RM15 untuk 3 biji board tu.

Plywood/papan lapis dan kayu MDF tu ambil belakang kilang kabinet dapur. Kayu lebihan orang buang, kami kutip. Banyak kegunaannya, yang penting jangan membazir.


Bahan-bahan:

Plywood - Free (Kayu buangan belakang kilang kabinet)
Kayu MDF - FreE (Kayu buangan belakang kilang kabinet)  utk buat kaki board tu
Kertas majung/cardboard - RM 4.90 (10 keping)
Plastik alas meja - RM 8.25 (1.5m) Cari tebal sikit
Sticker - Dalam Simpanan
Skru - Dalam Simpanan
Stepler - Dalam Simpanan
Double sided tape - Dalam Simpanan


Caranya

1. Balut plywood dgn kertas majung
2. Kemudian letaklah sticker apa nak letak atau nak buat boarder kat tepi board
3. Balut dgn plastik meja dan steplerkan belakang board supaya tak tertanggal
4. Buat kaki kayu bentuk segitiga untuk sangkut board tu.

Siap.






Jimat sangat. Tak payah keluar duit banyak nak buat whiteboard. Tapi tak boleh nak letak magnetic bar yer. Kalau ada pintu kabinet yang dah tertanggal tu pun boleh buat macam ni.

Selamat Mencuba.

Wednesday 18 November 2015

Kek tanpa telur dan bahan tenusu untuk anak alergik

Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Satu lagi hari yang amat bermakna. Terima kasih Allah. Semoga Allah sentiasa memberikan ilham dan dipermudahkan bagi memberi senyuman pada orang lain. 

Setiap satu kejadian pasti ada cerita menarik disebaliknya yang boleh dikongsi bersama. Semalam saya buat kek yang tak mengguna telur, mentega dan susu. Kek ini khas untuk anak-anak yang alergik tenusu atau 'lactose intolerance'. 

Kek tak guna telur, macam pelik kan. Kalau nak buat kek selalunya mesti guna telur. Kek dan telur memang tidak boleh dipisahkan. Itu yang saya fikir sebelum ini, tapi selepas ada mak yang 'request' kek tanpa telur dan tenusu untuk anaknya, tak sampai hati untuk ditolak. Bukan senang anaknya dapat makan kek. Dia pun nak rasa makan kek juga.

Setelah dua kali percubaan, kek vanila tak mahu naik ala-ala bantat gitu. Dah macam apam, padat dan tak gebu. Cuba lagi tapi kali ini buat kek coklat pula. Dalam hati dah yakin mesti jadi kek ni. Alhamdulillah. Keknya naik dan tak bantat. Yeahhhhh. Ambil gambar terus hantar pada mak tadi siap tunjuk guna resepi apa. Mana tahu ada bahan dalam resepi yang digunakan, anaknya tak boleh makan. Maka, terhasillah kek ini.





Ok. Ini resepinya ye. Saya ambil dari blog juga. Boleh baca di SINI. Tetapi ada bahan- bahan yang diubah-suai. Semoga bermanfaat.

Bahan-Bahan Untuk Kek

1 1/2 cawan tepung naik sendiri
3 sudu besar serbuk koko
3/4 cawan gula pasir
1/2 sudu teh garam
5 sudu besar minyak masak
1 sudu teh cuka
1 sudu teh vanila
1 cawan air

Cara-caranya.

1. Griskan loyang dan letak baking paper

2. Ayak tepung bersama serbuk koko.

3. Campur semua bahan kering (tepung, koko, gula pasir dan garam). Gaul semua sekali guna whisk.

4. Kemudian buat tiga lubang untuk masukkan bahan basah. 2 lubang kecil untuk vanilla dan cuka dan 1 lubang besar untuk minyak.  Akhir sekali masukkan air.

5. Terus whisk bancuhan sehingga tiada gumpalan tepung dan sebati.  Pastikan juga gula betul-betul larut.

6. Siap dah boleh bakar. Suhu 170C bakar 45min atau lebih ikut oven masing-masing sehingga masak.


Bahan-Bahan Untuk Frosting

1/4 cawan dairy-free margerine
1/4 cawan shortening
1 cawan icing
1 sudu teh vanilla.

Cara-cara.

1. Ayak icing supaya tidak berketul-ketul

2. Masukkan semuan bahan tadi dan pukul dengan kelajuan tinggi sehingga kembang 2 kali ganda.

3. Warnakan ikut suka guna oil-based color.
Siap dah boleh deco ikut kreativiti masing-masing.

Sila gandakan 2/3 dari sukatan ini ye. Nanti tak cukup pula. Kalau untuk tutup satu kek dengan ros macam yang saya buat perlu digandakan 3 ye.






Selamat Mencuba!




Wednesday 11 November 2015

Kompaun lambat perbaharui dan Pembatalan lesen perniagaan milikan tunggal

Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi peribadi

Assalamualaikum.

Hari ini ke SSM Putrajaya untuk perbaharui lesen perniagaan di samping untuk dapatkan beberapa maklumat lain. Sebenarnya saya nak tutup lesen perniagaan sekarang dan buka yang baru. Maklumlah dulu masa ambil lesen ni tergesa-gesa dan tak sempat fikir nak jual apa. Sekarang baru rasa macam-macam nak berniaga.

Bagi tujuan memperbaharui lesen perniagaan, cepat sahaja urusannya kerana pelanggannya pun tak berapa ramai. Mungkin masih ramai yang bercuti agaknya, kan cuti Deepavali. Saya sampai di sana pun sudah pukul 10 pagi. Ambil nombor giliran, terus di panggil. Cepat betul.

Lesen perniagaan saya dah luput bulan 9, tetapi lupa untuk diperbaharui. Kompaun akan dikenakan sebayak RM 20 pada bulan pertama dan RM 10 untuk bulan-bulan seterusnya sehingga setahun. Jika tidak diperbaharui dalam masa setahun, lesen perniagaan itu batal dengan sendirinya. Jadi, jika mahu daftar syarikat milikan tunggal yang baru, biarkan sahajalah lesen sekarang sehingga setahun.

Ini penjelasan dari pegawai yang saya jumpa tadi. Selepas dikira kompaun dan yuran setahun, saya perlu bayar RM 140, jika ingin terus menggunakan lesen perniagaan yang sedia ada. 

Kata pegawai tersebut, lebih baik daftar lesen perniagaan baru jika memang mahu berniaga pelbagai produk. Saya pun tak jadilah untuk perbaharui lesen sediaada dan buka lesen milikan tunggal yang baru guna nama sendiri. Lagi murah dan jimat. Boleh tulis sebanyak mana perniagaan yang mahu dijalankan. 

Kalau guna nama sendiri mesti guna nama yang ada dalam ic siap bin/binti lagi. Yuran yang dikenakan cuma RM 30 setahun. Untuk pendaftran kali pertama ada yuran proses maklumat pendaftaran RM 10. Total semua bagi perniagaan setahun adalah RM 40.60. Jangan lupa ya RM 0.60 itu caj untuk GST.  Kalau perniagaan menggunakan nama 'tred' yuran setahun RM 70.

Ok. Itu sahaja perkongsian mengenai SSM ni. Setakat ini urusan saya di SSM Putrajaya sangat mudah dan cepat.


Tuesday 10 November 2015

Buat sendiri Pizza di Rumah

Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.

Terasa nak berkongsi buat pizza homemade dan mengenyangkan. Kisah pizza ni terjadi disebabkan anak sulung tak suka makan sayur. Satu hari tu, saya beli kulit wrap di Mydin. Balik rumah terus rasa macam nak buat pizza ala-ala 'thin crust'. Sos pizza pun cuma letak mayonis dan sos cili. Tabur sayur banyak-banyak dan bakar.

Bila dah masak, cuba lah tunjuk dekat anak. Ingatkan dia tak nak makan, sekali dia suka. Siap kata 'ermmmm..sedapnya ibu'. Ibu pun terkejut. Dia makan semua sayur yang saya letak atas pizza tu. Alhamdulillah. Jadi kena sentiasa berpizza lah kalau macam ni.



Resepi untuk membuat doh pizza saya ambil dari SINI. Sila rujuk ke blog tersebut ya untuk cara-cara membuatnya. 

Doh Pizza

500g tepung roti
300ml air suam
1 sudu teh gula
1 paket mauripan (11g)
1 sudu teh garam
2 sudu besar minyak zaitun. Boleh guna minyak lain.

Cara buat doh.

1. Bancuh air dan gula dahulu sehingga larut kemudian masukkan yis. Tunggu sehingga berbuih. Langkah ni untuk memastikan yis yang digunakan aktif.

2. Tuang bancuhan yis dalam tepung bersama minyak dan garam. Uli lebih kurang 5 minit.

3. Oleskan bekas untuk rehatkan doh dengan minyak dan rehatkan selama 30 minit di tempat yang hangat. Jangan lupa tutup ya bekas tu.

4. Selepas doh rehat, tumbuk-tumbuk doh untuk mengeluarkan angin. Kemudian bolehlah di canaikan. Dan dibakar selama 10 minit pada suhu 200 C. Boleh dapat 2 keping pizza saiz 10 in.


Sos pizza

3 sudu besar tomato puree
2 sudu sos cili
1 biji tomato cincang dadu
4 ulas bawang cincang
1 labu bawang holland cincang dadu
1 sudu mix herb
1 sudu chilli flake (kepedasan ikut citarasa)
daun parsley secukupnya
Daging cincang/ayam/sosej secukupnya
Tepung jagung.
Garam dan minyak

Cara buat sos.

Panaskan minyak. Tumiskan bawang putih, bawang holland sehingga layu. Masukkan daging cincang/ayam/sosej, mix herb, tomato dadu, tomato puree, chilli flakes dan daun parsley masak sehingga kuahnya pekat.



Topping.

Potong cendawan, tomato, nenas, capsicum atau apa-apa sayur yang diingini.



Masa untuk susun topping pula. Mula-mula letakkan sos pizza. Ikut suka nak banyak ke sikit. 



Kemudian susun sayur yang telah dipotong tadi. Taburkan cheese. Cheese yang ada di rumah cuma parmesan dan cheddar sahaja. Bolehlah asal ada. Kemudian dibakar 15 minit pada suhu 200 C. Saya bakar 15minit sahaja sebab crust dah dibakar 10 minit tadi.



👉 Untuk pizza ni saya tidak menggunakan daging/ayam/sosej. Tetapi ditukarkan dengan ikan yang telah digoreng. Ikan goreng lebihan makan tengahari. Ala-ala pizza seafood gitu.


Selamat Mencuba.








Monday 9 November 2015

Tips Mengurangkan Serangan Strok

Norlia Amat Mohtar
Gambar : Sumber Google


Assalamualaikum.

Lama juga tidak berkongsi apa-apa tips di sini. Saya kongsikan sedikit tips nak sihat. Tips ni sangat mudah dan tidak memerlukan wang asalkan anda ada tangan dan tapak tangan boleh buat.

Tips untuk mengurangkan serangan strok.

Mari bertepuk tangan kuat-kuat. Ini sahaja tipsnya. Anda hanya perlu sentiasa bertepuk tangan untuk mengurangkan serangan strok. Kenapa? Sebabnya dengan bertepuk tangan, darah akan dapat mengalir dengan baik ke seluruh badan terutamanya ke bahagian otak. Lepas tepuk tangan, cuba tengok tangan anda, merahkan. Itu tandanya bagus untuk aliran darah.

Pernah tak lihat pakcik-pakcik selalunya berbangsa cina, berjalan keliling taman atau tasik sambil tepuk tangan depan dan belakang. Mungkin inilah sebabnya. Senaman seperti ini sangat popular di China manakala di Korea pula mereka suka menyanyi beramai-ramai sambil bertepuk tangan. Macam yang selalu kita lihat dalam cerita Korea di TV tu. Mesti ramaikan yang suka tonton drama Korea, mesti selalu lihat mereka berkaraoke sambil bertepuk tangan.

Aktiviti ini sangat mudah, boleh buat di mana-mana sambil berhibur dengan anak-anak. Kita gembira, anak suka, sambil sedut manfaatnya.


http://musiced.about.com/od/adviceforparents/a/clappinggames.htm

Bertepuk tangan yang mudah itupun pun ada hasiatnya. Betullah, Allah tidak pernah menjadikan sesuatu itu sia-sia. Tetapi perlu diingat, pemakanan juga perlu sentiasa dijaga disamping bersenam. Kenalah seimbang baru sihat.

Selamat Sihat Semua.


Sunday 27 September 2015

Sup Ayam Mudah Tanpa MSG

Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.

Hari ni pagi-pagi dah masak nasi sambil buat sup ayam. Berat makanan sarapan saya hari ini sebab mak datang. Mak sarapan dengan nasi pagi-pagi kalau tak pening kepala. 

Saya nak kongsi resepi sup ayam yang mudah dan ringkas tanpa bahan penambah perasa seperti MSG, perencah KNORR, Pasti sedap atau apa-apa bahan penambah perasa yang lain. Sedap ke tidak kalau tak guna perasa? Ikutlah citarasa tetapi kalau nak sihat lebih baik jangan guna atau dikurangkan penggunaan. Banyak kesan negatif dari penggunaan bahan penambah perasa ni. Boleh tanya pak cik google kesan sampingan penggunaan penambah perisa.

Bahan-bahan sup

2 ketul ayam bahagian dada (kurang lemak)
2 biji kentang
1/2 biji lobak merah
1 ulas bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kulit kayu manis
1 biji bunga lawang
2/3 biji cengkih
1/2 sudu besar jintan putih
1 sudu besar minyak bijan
Garam secukup rasa
Daun sup
Air secukupnya untuk periuk 1.8L

Cara-cara

  1. Hiris bawang merah, bawang putih dan halia. Kupas kentang dan lobak merak serta potong ayam ikut kesukaan.
  2. Rebuskan semua bahan-bahan bersama kecuali minyak bijan, garam dan daup sup. Tidak perlu ditumis.
  3. Tunggu sehingga mendidih dan ayam telah timbul barulah di masukkan minyak bijan. Reneh untuk beberapa minit.
  4. kemudian barulah di tambah garam dan daun sup kacau seketika dan tutup api.

Siap!!!


Senangkan sup rebus ni. Rasanya pun boleh dikatakan sedap. Nak lagi sedap lebihkan ayam. In Shaa Allah sup akan lagi sedap.

Selamat Mencuba.




Friday 18 September 2015

Kisah Asam Pedas Ikan Tenggiri di Mydin Mall

Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koeksi Peribadi

Assalamualaikum.

Tengahari tadi pergi sekejap Mydin Mall sebab anak teruna tiba-tiba minta makan biskut. Sambil beli biskut boleh ibu beli barang dapur sikit. Sampai sahaja di Mydin Mall terus ke tempat barang-barang basah ambil ikan tenggiri potong dan ikan kurau potong. Terus hati kata nak buat asam pedas. Sudah lama juga tak makan asam pedas ni. Apa salahnya. Ambil kacang bendi, limau kasturi dan daun kesum terus ke kaunter timbang. Perlu cepat sebab ada kawan nak datang ke rumah ambil tempahan Rya Haji.



Sambil timbang sempat bersembang sekejap dengan kakak kaunter timbang. Disebabkan saya selalu datang beli barang di situ, kakak tu pun dah boleh kenal muka. Dia kata, "Nak buat asam pedas ye dik. Sedapnya. Akak tak masak, kalau masak anak-anak tak makan. Akak kerja". Saya terus tengok muka dia dalam-dalam. Ada keluhan dan kekesalan di raut wajahnya. 

Ya Allah. Masa tu saya rasa sangat bertuah kerana mampu memasak untuk anak-anak, menyuap makanan ke mulut mereka tukarkan lampin mereka dan sebagainya. Saya kadang-kadang mengeluh bila banyak kerja tertangguh ditambah pula anak-anak menggangu. Sedangkan ibu ini perlu memenuhi tuntutan kerja untuk menampung keperluan keluarga. Anak-anak pula perlu menyesuaikan diri dan berkorban juga.

Jadi, sepatutnya saya yang mampu untuk bekerja tanpa perlu meninggalkan anak-anak kepada orang lain tidak patut mengeluh. Malahan perlu lebih bersyukur kerana diberi jalan ini dengan restu suami dan ibubapa.

Sekian.