Thursday 30 April 2015

Bahan-Bahan Asas dan Fungsi Dalam Pembuatan Kek

Teks : Norlia Amat Mohtar


Assalamualaikum.


Hari ini saya ingin berkongsi bahan-bahan asas dan fungsi setiap bahan dalam pembuatan produk bakeri. Oh ya, sekiranya kita hendak membuat kek, roti dan biskut selalunya bahan asasnya adalah yang biasa ada di dapur. Namapun bahan asas, mestilah bahan-bahan ini mudah dijumpai di supermarket atau paling senang carilah di kedai menjual barang-barang bakeri. In Shaa Allah ada.


Bahan-bahan asas untuk baking.

  • Koko. Berfungsi sebagai bahan perisa yang paling digemari dalam pembuatan produk bakeri. Dihasilkan daripada biji koko dan diproses untuk menjadi serbuk koko, cocoa butter, coklat cip, coklat kompoun dan cocoa liquor. 

  • Produk Tenusu. Digunakan bagi mengekalkan kelembapan dalam produk bakeri. Contoh produk tenusu dipasaran adalah seperti buttermilk, susu sejat, susu tepung rendah lemak, susu pekat manis, dan yoqurt.

  • Telur. Telur mempunyai banyak fungsi dalam pembuatan produk bakeri seperti menambah warna, perasa, tektur dan stuktur produk. Kuning telur akan menambah lemak dan bertindak sebagai emulsifier. Manakala putih telur banyak digunakan untuk menghasilkan meringues. 

  • Lelemak. Lelemak juga mempunyai pelbagai fungsi bagi produk bakeri. Diantaranya adalah seperti menambah kelembapan, memberi perasa dan menghasilkan struktur sesuatu produk bakeri. Lelemak juga boleh bertindak sebagai agen pengembang kerana semasa lelemak diputar sehingga kembang udara akan masuk ke dalam doh atau adunan. Contoh lelemak adalah seperti margerin, butter, shortening dan minyak.

  • Tepung. Tepung yang paling biasa digunakan dalam produk bakeri adalah tepung gandum. Tepung gandum ini mengandung gluten iaitu protein elastik yang boleh memerangkap gas yang dihasilkan oleh agen pengembang. Semasa proses pembakaran/baking, gas yang terperangkap akan mengembang dan menolak gluten tersebut dan hasilnya produk akan naik. Kandungan gluten ini akan mempengaruhi tektur produk yang terhasil. Contoh tepung yang digunakan dalam bakeri adalah seperti tepung gandum pelbagai guna, tepung naik sendiri, tepung kek, tepung roti, tepung gandum penuh, dll. 

  • Leavener/Agen pengembang. Digunakan untuk mengembang dan menghasilkan tektur yang ringan. Diantara contoh bahan pengembang adalah serbuk penaik, soda bikarbonat, yis dan telur

  • Garam. Digunakan untuk menambah rasa. Dalam pembuatan roti garam digunakan untuk mengawal pertumbuhan yis.

  • Gula dan bahan pemanis. Fungsi gula dan bahan pemanis lain adalah untuk menghasilkan rasa manis, lembut, pemerangan dan produk boleh disimpan lama. Contoh-contoh gula dan pemanis lain adalah seperti gula pasir, gula perang, gula icing, madu dan gula merah.

Selamat menimba ilmu bakeri.


Saya boleh dihubungi melalui:

Email: norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070


Wednesday 29 April 2015

Tip Asas Membuat Kek

Teks : Norlia Amat Mohtar


Assalamualaikum.


Teringat saya pertama kali cuba-cuba untuk membuat kek. Resipi yang diambil pastinya dari buku-buku masakan, punyalah menyelak buku sana-sini sebab nak cari resepi yang mudah dan senang. Sudah jumpa resepi terus beli barang dan mula ke dapur, tetapi sedihnya resepi tu tidak menjadi. Kalau sekarang lagi mudah boleh tanya En Google melambak resepi terhidang, siap boleh baca komen-komen pengguna yang telah mencuba resepi tersebut. Bak kata generasi Y, "Dunia dihujung jari, klik-klik jer semua ada".

Sekarang saya nak kongsikan tip-tip yang sangat asas sebelum mula mem'baking' bagi sesiapa yang baru dalam dunia 'baking'. Walaupun mudah tetapi jika tidak dititik beratkan mungkin kek, biskut atau roti yang ingin dibuat tidak menjadi. Kan rugi nanti. Ini juga antara kesilapan saya dahulu masa mula-mula ber'baking'.

Jom baca apa tip-tipnya :

  • Baca resepi betul-betul terlebih dahulu untuk memastikan kita faham kaedah dan cara yang digunakan. Setiap resepi selalunya menggunakan kaedah yang berbeza begitu juga dengan baker. Setiap baker ada mempunyai kedah tersendiri. Jadi baca betul-betul langkah-langkah yang diberi.

  • Pastikan semua bahan-bahan yang ingin digunakan untuk resepi tersebut ada. Contohnya untuk membuat kek karot walnut mestilah ada karot, walnut, telur, tepung, serbuk penaik, dll. Perlu dipastikan semua bahan ini ada terlebih dahulu.

  • Sediakan bahan-bahan sebelum mula membuat adunan. Contohnya, mentega perlu dilembutkan dahulu, kekacang dicincang, karot diparut, dll.

  • Timbang atau ukur dengan tepat setiap bahan yang ingin digunakan dengan kaedah dan teknik yang betul. Sekiranya bahan perlu ditimbang jadi gunakanlah penimbang atau bahan perlu diukur menggunakan cawan jadi carilah cawan yang khas untuk baking. 

  • Oven perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 15-20 min. Orang putih kata 'Preheat' supaya suhu yang kita gunakan itu sudah stabil. Kalau nak lagi tepat boleh guna termometer oven untuk pastikan suhu yang digunakan oleh resepi itu sama dengan oven kita.

  • Akhir sekali, gunalah redai untuk menyejukkan kek, biskut atau roti yang sudah dibakar. Fungsi redai ini supaya udara boleh bergerak bebas di bawah makanan dan supaya makanan tidak berpeluh dengan wap panas.

Sampai sini dulu tip asas sebelum mula mem'baking'. Nanti saya kongsi lagi tip-tip lain. Mudah-mudahan akan membantu sesiapa yang memerlukan.



Saya boleh dihubungi melalui;

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070

Wednesday 22 April 2015

Salam Perkenalan



Assalamualaikum & Salam Perkenalan


Saya Norlia Binti Amat Mohtar. Seorang ibu yang mempunyai dua orang permata hati yang sedang rancak membesar. Dianugerahi Allah untuk memperoleh Ijazah sarjana muda (OleoKimia) dan telah berkhidmat di satu Jabatan kerajaan selama 8 tahun. Alhamdulillah, rezeki saya di sana dan setakat itu sahaja. Saya telah mengambil keputusan yang agak drastik dengan meletakkan jawatan untuk memberi ruang kepada anak-anak membesar di depan mata sendiri. Terjadi beberapa peristiwa terhadap anak-anak saya semasa di pusat asuhan yang menyebabkan saya tidak boleh bertolak ansur terhadap keselamatan anak-anak. Allah adalah sebaik-baik perancang dan telah mengatur perjalanan hidup saya.

Saya sedang berusaha untuk menjadi seorang ibu yang baik yang dapat meningkatkan keyakinan diri anak-anak saya. Disebabkan sering tertekan semasa di pusat asuhan, anak sulung saya kurang yakin diri dan sukar untuk bercakap dengan orang lain termasuk dengan ibubapa. Ini sangat merisukan kami. Sebagai ibu saya tidak tahu apa yang dipikir dan dimahukan olehnya. Ini juga amat menyukarkan kami dan cikgu yang mengajar untuk mengetahui sejauh mana pengetahuannya. Alhamdulillah, setelah 6 bulan saya berhenti kerja, saya dapat memberi sepenuh perhatian kepadanya dan sudah nampak perubahan yang sangat ketara. Anak sulung saya sudah mula bercakap banyak dengan ibubapa. Alhamdulillah.

Bagi mengisi masa saya yang terluang disamping membesarkan anak-anak, saya belajar serba sedikit ilmu perniagaan. Ilmu yang sangat menarik untuk diterokai. Saya juga mengikuti beberapa kelas kek dan dekorasi serta menjalankan bisnes kek secara kecil-kecilan dari rumah. Inn Shaa Allah, jika Allah mengizinkan, saya ingin mengembangkan bisnes ini kepada skala yang lebih besar. Aminn.

Selain minat terhadap kek, saya sebenarnya sangat suka melayari internet, mencari maklumat baru berkaitan dengan bunga-bungan, makanan, perkembangan awal kanak-kanak, penulisan dan travel. Saya juga gemar berekperimentasi dengan masakan dan makanan, dan jika boleh setiap makanan yang dimasak adalah lebih sihat dan seimbang dengan menggunakan bahan semulajadi sahaja tanpa perlu menggunakan sebarang penambah perisa dan pewarna. Disebabkan kebanyakkan penyakit sangat berkait rapat dengan makanan, saya sangat menitik beratkan faktor pemakanan. Seboleh-bolehnya saya akan mengurangkan pengambilan lemak, minyak, bahan perasa dan pewarna.

Matlamat saya menyertai ABDR ini adalah untuk menambah ilmu dan pengetahuan. ABDR juga adalah komuniti sokongan untuk mereka yang bekerja dari rumah dimana saya boleh saling bertukar-tukar pendapat dan pengalaman di dalam komuniti ini. Sejujurnya, menjadi suri yang bekerja dari rumah memang tidak pernah terlintas difikiran langsung, tetapi keadaan keselamatan anak-anak yang tidak begitu mengizinkan telah merubah pandangan saya. Harapan saya, semoga saya diberi kekuatan untuk mendidik dan menyemai nilai-nilai murni di dalam diri anak-anak saya supaya mereka boleh menjadi insan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan agama. 


Nukilan Ikhlas,

Norlia Amat Mohtar


Saya boleh dihubungi melalui :

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 0192693070