Sunday 24 May 2015

Diari Bisnes Bakeri Dirumah : Jatuh Tersungkur

Teks : Norlia Amat Mohtar


Assalamualaikum.


Hari ini saya terjumpa dengan seorang kawan sekolah menengah semasa berurusan di Maybank. Lama juga tidak berjumpa dengan kawan ini. Dia juga seorang yang sangat suka berbisnes. Pernah juga dulu dia mengajak saya untuk berbisnes bersama dia semasa saya baru mengenjak ke alam pekerjaan. Tapi itulah, memang sudah tertulis rezeki saya bukan untuk bekerjasama dengan dia. Saya katakan kepada dia dulu, "Saya belum bersedia untuk berbisnes apatah lagi untuk melabur". Saya masih tiada ilmu dalam bidang ini.

Jika dulunya dia seorang yang sangat bergaya dengan kereta mewah dan duit yang bekepuk-kepuk. Alhamdulillah nikmat Allah beri kepada dia pada waktu itu. (Nota: Saya tidak tahu duitnya sebanyak mana cuma selalu ditayangkan duit bertimbun di dalam fb beliau). Tetapi sekarang semuanya hangus lebur. Habis terbakar sana-sini. Hutang keliling pinggang. Rumah-tangga juga bergegaran angkara hutang. Ya, memang dia menanggung kerugian yang amat besar disebabkan orang atasannya cabut lari setelah mendapat sasaran jualannya. Rambut memang sama hitam hati lain-lain. Tidak takutkah mereka dengan azab Allah di akhirat nanti. Atau mungkin dia sendiri yang tidak benar-benar cukup ilmu dalam bidang yang di ceburinya. Hanya dia dan Allah yang tahu.

Inilah dia penangan bisnes yang harus ditempuhi oleh insan yang berkecimpung dalam dunia bisnes. Jika tersilap percaturan memang merana. Ada masa kita untung besar dan ada masa nak jual satu barang pun payah. Kesabaran dan ketekunan dalam berbisnes amat penting. Yang penting jangan putus asa. Tiada istilah gagal dalam kamus bisnes yang ada cuma kerugian. Itu adalah kerugian dia buat masa sekarang.

Saya nampak untuk bangun semula memang agak payah untuk beliau. Moral, emosi dan semangat semua terganggu. Untuk kawan tersebut, saya doakan semoga dia diberi kekuatan untuk bangun dan melangkah semula. Bermulalah dengan bisnes yang mudah memberi pulangan dan memerlukan kos yang sangat rendah seperti jual air tepi jalan, dropship atau trading barang keperluan harian. Jangan asyik nak fikir jual barang-barang yang glemer dan ada standard sahaja. Bagi saya standard itu tidak penting, yang penting ada aliran tunai yang masuk setiap hari bagi meningkatkan motivasi diri. Selamatkan semangat diri dulu, baru kita boleh melangkah lebih jauh.

Ini mungkin teguran dari Allah untuk beliau supaya melihat kekhilafan diri. Saya juga pernah dijentik oleh Allah dengan diturunkan penyakit Bell's Palsy. Penyakit ini megakibatkan sebelah kanan muka jatuh ke bawah atau senget. Moral sememangnya jatuh ke lantai untuk berjumpa dengan orang memang jauh sekali. Ada sahabat yang mahu berziarah tetapi saya menghalang. Saya sangat malu pada ketika itu. "Bagaimana untuk berbisnes dengan muka sebegini", kata saya selalu dalam hati. Rupanya Allah mengkehendaki saya bermuhasabah diri dan sentiasa mengingati-Nya setelah banyak nikmat yang diberikan. Dia mahu saya berserah dan menghambakan diri kepada-Nya. Dan hasilnya, rezeki yang datang lebih mudah selepas itu. Pasti ada hikmat disetiap musibah yang diturunkan.

Semoga memberi manfaat kepada kawan saya itu.




Saya boleh dihubungi ;

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com

Fanpage : LeeyaSweetBites

Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070

No comments:

Post a Comment