Wednesday 18 November 2015

Kek tanpa telur dan bahan tenusu untuk anak alergik

Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Satu lagi hari yang amat bermakna. Terima kasih Allah. Semoga Allah sentiasa memberikan ilham dan dipermudahkan bagi memberi senyuman pada orang lain. 

Setiap satu kejadian pasti ada cerita menarik disebaliknya yang boleh dikongsi bersama. Semalam saya buat kek yang tak mengguna telur, mentega dan susu. Kek ini khas untuk anak-anak yang alergik tenusu atau 'lactose intolerance'. 

Kek tak guna telur, macam pelik kan. Kalau nak buat kek selalunya mesti guna telur. Kek dan telur memang tidak boleh dipisahkan. Itu yang saya fikir sebelum ini, tapi selepas ada mak yang 'request' kek tanpa telur dan tenusu untuk anaknya, tak sampai hati untuk ditolak. Bukan senang anaknya dapat makan kek. Dia pun nak rasa makan kek juga.

Setelah dua kali percubaan, kek vanila tak mahu naik ala-ala bantat gitu. Dah macam apam, padat dan tak gebu. Cuba lagi tapi kali ini buat kek coklat pula. Dalam hati dah yakin mesti jadi kek ni. Alhamdulillah. Keknya naik dan tak bantat. Yeahhhhh. Ambil gambar terus hantar pada mak tadi siap tunjuk guna resepi apa. Mana tahu ada bahan dalam resepi yang digunakan, anaknya tak boleh makan. Maka, terhasillah kek ini.





Ok. Ini resepinya ye. Saya ambil dari blog juga. Boleh baca di SINI. Tetapi ada bahan- bahan yang diubah-suai. Semoga bermanfaat.

Bahan-Bahan Untuk Kek

1 1/2 cawan tepung naik sendiri
3 sudu besar serbuk koko
3/4 cawan gula pasir
1/2 sudu teh garam
5 sudu besar minyak masak
1 sudu teh cuka
1 sudu teh vanila
1 cawan air

Cara-caranya.

1. Griskan loyang dan letak baking paper

2. Ayak tepung bersama serbuk koko.

3. Campur semua bahan kering (tepung, koko, gula pasir dan garam). Gaul semua sekali guna whisk.

4. Kemudian buat tiga lubang untuk masukkan bahan basah. 2 lubang kecil untuk vanilla dan cuka dan 1 lubang besar untuk minyak.  Akhir sekali masukkan air.

5. Terus whisk bancuhan sehingga tiada gumpalan tepung dan sebati.  Pastikan juga gula betul-betul larut.

6. Siap dah boleh bakar. Suhu 170C bakar 45min atau lebih ikut oven masing-masing sehingga masak.


Bahan-Bahan Untuk Frosting

1/4 cawan dairy-free margerine
1/4 cawan shortening
1 cawan icing
1 sudu teh vanilla.

Cara-cara.

1. Ayak icing supaya tidak berketul-ketul

2. Masukkan semuan bahan tadi dan pukul dengan kelajuan tinggi sehingga kembang 2 kali ganda.

3. Warnakan ikut suka guna oil-based color.
Siap dah boleh deco ikut kreativiti masing-masing.

Sila gandakan 2/3 dari sukatan ini ye. Nanti tak cukup pula. Kalau untuk tutup satu kek dengan ros macam yang saya buat perlu digandakan 3 ye.






Selamat Mencuba!




No comments:

Post a Comment