Monday 31 August 2015

Kelas Jahitan Bersama Anak-Anak Kasih Harmoni Paya Jaras

Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.

Hari ini tanggal 31 Ogos 2015 adalah Hari Kemerdekaan. Siapalah yang tak tahu kan! Hari ini mugkin agak berbeza dari kebiasaan. Saya mengikut sifu (Gan Alma Daud atau lebih mesra dipanggil K Ema) dan seorang sahabat yang bergiat aktif dalam aktiviti kebajikan pergi ke Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buluh. Pada kebiasaan setiap Hari Kemerdekaan saya dan keluarga akan menonton perbarisan di TV sahaja sambil beristirehat bersama. Menikmati hari cutilah katakan setelah berpenat lelah bekerja. Tetapi apabila sudah menjadi WAHM keadaan agak berbeza. Satu hari dalam sebulan saya peruntukkan untuk diri sendiri pergi menimba ilmu atau berkongsi ilmu dengan orang lain. Semoga lebih bermanfaat.


Ok. Tujuan kami ke Rumah Kasih Harmoni adalah untuk mengajar anak-anak ini ilmu jahitan. Seramai 13 orang anak yang mengikuti kelas ini. Alhamdulillah. Mereka ada minat untuk mendalami ilmu jahitan. Tidak ketinggalan seramai 5 orang anak teruna juga terlibat. Zaman sekarang yang teruna lagi kemas menjahit tau. Respek sangat. Jadi memang tidak ada salahnya mereka datang untuk bersama-sama belajar.

Kelas bermula agak suram. Yelah, masing-masing pun belum mula menunjukkan taringnya. Kesemua anak-anak ini masih segan-segan. Inilah peranan kami untuk menarik minat mereka dan membuang sedikit rasa janggal di antara kami. Memang bukan mudah untuk mendekati anak-anak ini yang datang daripada pelbagai latar belakang dan sejarah hidup. Jadi kami perlu bijak untuk berbicara dan cuba untuk tidak menyinggung perasaan mereka.



Pengisian untuk hari ini adalah melukis pola, mengunting dan menjahit 'Princess Dress'. Mencabar ke tidak! Hehehe. Bagi anak-anak ini mungkin agak mencabar. Tetapi jika faham konsep, memang mudah. Bagi anak-anak gadis, semuanya mudah faham. Manakala, bagi si anak teruna mungkin sedikit payah. Tepat pukul 5 petang semua sudah siap dengan Princess Dress masing-masing. Semua kata boleh dibuat baju Raya Haji. Si teruna pula bila ditanya, "Untuk siapa dress ni?". Sengeh-sengeh sahaja jawapannya. Faham-faham sajelah.


Saya sangat kagum dengan anak-anak ini. Pandai menyesuaikan diri dan terpaksa hidup dengan menumpang kasih sayang orang lain. Teringat anak-anak di rumah, sekiranya kami tiada, bagaimana pulalah nasib mereka. Hanya Allah yang tahu dan hanya kepadaNya kami bergantung. Saya berdoa supaya anak-anak ini diberikan kekuatan dan kekebalan untuk terus mengharungi onak ranjau kehidupan yang mendatang. Memang bukan mudah hanya kekuatan iman akan memayungi setiap tindakan yang bakal diambil. Aminn..

.......

Kepada individu budiman yang ingin menghulurkan bantuan terutama mesin jahit lurus dan jahit tepi bolehlah menghubungi pengetua Rumah Kasih Harmoni Kg Paya Jaras, Sungai Buluh iaitu En. Jamaludin (012-3942783). Sumbangan anda amat dialu-alukan kerana anak-anak ini memerlukan kemahiran untuk berjaya dalam hidup kerana bukan semua anak-anak ini dilahirkan cerdik pandai. Pengetua juga merancang untuk menjadikan sebuah lot rumah sebagai bengkel jahitan untuk anak-anak ini. Manakala mesin yang ada juga telah rosak dan perlu di baiki.

Sekian.


Sekiranya ingin berhubung dengan saya adalah seperti berikut;

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070


No comments:

Post a Comment