Thursday 30 July 2015

Hari Raya Dengan Gulai Ayam

Teks : Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi peribadi


Assalamualaikum.

Hari ini sudah 14 Syawal. Cepat betul masa berlalu. Penat lelah menyiapkan tempahan masa bulan puasa tempoh hari pun masih terasa. Hehehe. "Sebenarnya dalam hati masih ada mood raya". Lama juga tak ada entri baru, gara-gara kesibukkan pada bulan puasa. Resepi-resepi berbuka pun tak sempat nak dikongsi bersama. 

Di kesempatan ini, belum terlambat kiranya saya mengucapkan "Selamat Hari Raya dan pohon kemaafan diatas kekhilafan diri" kepada semua. Semoga lebaran kali ini lebih bermakna dan diberkati. Aminn. Apa tema baju raya kalian tahun ni? Mesti setiap tahun ada kan? Bagus sedondon ni, melambangkan ikatan kekeluargaan yang sangat erat. Nampak sehati dan sejiwa bersama. Saya suka.

Tahun ini lebaran saya di sambut dengan sangat sederhana. Yang penting dapat berkumpul beramai-ramai dengan sanak saudara sambil bermaaf-maafan. Al-maklumlah setahun sekali je berjumpa. Masing-masing sibuk dengan kehidupan dan kerjaya sendiri. Boleh dikatakan bukan semua saudara-mara dan sepupu sepapat saya kenal. Yang sudah lama merantau  dan jarang-jarang pulang ke kampung tu memang ada yang tidak kenal. Tetapi tidak mengapalah semoga suatu hari nanti kita bertemu.

Kalau hari raya, anak-anak yang paling gembira. Mana tidaknya, kesana-kemari pasti dapat duit raya. Murah rezeki budak-budak ni. Alah, macam kita dulu-dulu. Seronok dapat duit raya walaupun nilainya hanya 20 sen atau 50 sen. Kalau dapat RM 1 seringgit tu macam dah banyak sangat.

Eh..sebenarnya saya nak kongsi resepi gulai ayam. Ni masakan yang perlu ada di atas meja semasa hari raya, kegemaran ayahanda. Kalau dulu mak yang masak saya tolong-tolong sahaja. Tetapi sekarang mak sudah agak uzur dengan sakit lututnya, maka sayalah yang kena masak gulai ayam ni. Yang kelakarnya, bila dah siap masak nanti mak curi-curi rasa dan ubahsuai rasa ikut citarasa dia. Hahaha. Mak tak nak anaknya kecik hati. Mak oh emak! Sayang emak. Tapi tahun ini, rasanya sama. Mesti emak tak ubahsuai apa-apa. Yeahhhh. Dah dapat buat ikut selera mak.

Resepinya adalah untuk 4 ekor ayam. Berpeluh sakan masa masak gulai ni, dapatlah satu belanga besar. Nak bagi dekat jiran tetangga dan jamu sedara-mara yang datang.


4 ekor ayam - potong ikut suka
10-15 ulas bawang merah
1/2 kg kentang - potong empat
2 inci halia
1 labu bawang putih
1 paket besar besar rempah kari
3 biji kelapa parut
3 tangkai daun kari
2 sudu besar asam jawa adabi
Kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih dan buah pelaga
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara-cara

  1. Potong ayam ikut suka dan basuh bersih. Garamkan ayam tersebut dan goreng separuh masak.
  2. Kupas kentang, potong empat dan basuh. Goreng juga sehingga separuh masak.
  3. Hiris halus bawang merah, bawang putih dan halia. Seterusnya ditumis bermasa daun kari, kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih dan buah pelaga.
  4. Apabila sudah naik bau masukkan rempah kari dan sedikit air tumiskan sehingga pecah minyak dengan api perlahan.
  5. Bolehlah masukkan ayam yang telah digoreng separuh masak tadi dengan sedikit santan cair lebih kurang 1/2 daripada muatan ayam tu dan asam adabi.
  6. Biarkan sehingga ayam agak empuk barulah masukkan santan pekat beserta dengan kentang yang separuh masak tadi.
  7. Bila sudah masak bolehlah sesuaikan rasa dengan garam dan gula. 
Sudah siap.

Ini cara mak saya masak gulai ayam. Semoga bermanfaat.


Saya boleh dihubungi melalui

Whatsapp (Sahaja): 019-2693070
Fan pages : LeeyaSweetBites