Sunday 31 May 2015

Bercuti dan Rasa-rasa Makanan

Teks: Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi peribadi

Assalamualaikum.

Cuti sekolah sudah bermula. Seperti kebiasaan apabila cuti sekolah kami sekeluarga akan berkunjung ke tempat-tempat menarik atau menghabiskan masa di kampung bersama keluarga. Tiada kerisauan semasa bercuti. Kalau dulu semasa masih bekerja di jabatan kerajaan saya akan berkira-kira untuk bercuti. Paling banyak pun hanya akan ambil 3/4 hari sahaja. Itupun sudah risau kerja-kerja yang tertangguh dan mesyuarat-mesyuarat yang terpaksa ditinggalkan. Mcam orang penting sangat. Hahaha. Saya hanya kuli-kuli sahaja atau saya yang menurut perintah.

Tetapi sekarang untuk bercuti saya lebih mudah. Tidak perlu runsing-runsing kerja yang tertangguh dan saya bebas mengurus masa sendiri. Inilah penangan working at home mom. Disamping bekerja, masa bersama keluarga juga lebih banyak dan kita tidak terikat dengan sesiapa. Cumanya perlu dipastikan betul-betul tempahan supaya tidak bertindih dengan waktu cuti kita.

Cuti sekolah kali ini kami akan bercuti di kampung halaman. Sepanjang perjalanan balik kampung memang banyk kedai-kedai makan yang nampak ramai orang berkunjung tetapi kami lebih selesa singgah makan di KFC sahaja kerana lebih selesa kemudahan juga banyak. Tetapi balik kali ini kami ingin menukar angin dengan singgah sekejap di Warung Mee Udang Banjir Tg. Karang. Sudah beberapa tahun warung ini dibuka tetapi inilah kali pertama kami singgah makan disini. Menunya boleh tahan walaupun tidak berbuku menu untuk dipilih. Jadi kami memesan mee udang sahaja.




Mee udangnya sedap. Udangnya pun manis. Saya punyalah hendak menyedut kepala udang sekali otak udang sudah kena buang. Hehehe. Bagus. Mereka tak masak otak udang sekali. Bak kata orang makan otak udang cepat lupa tetapi sedap tu. Perhati dapur semua yang masak memakai kopiah sambil memakai sarung tangan plastik semasa mengambil bahan-bahan makanan. Rasanya yang bekerja pun anak-anak Maahad kerana di belakang warung ini ada sekolah Maahad Tahfiz. 

Bagi peminat Mee udang banjir selain yang di Kuala Sepetang, saya sarankan untuk cuba di warung ini. Walaupun sekadar warung tetapi rasanya tetap sedap.




Saya boleh dihubungi dengan :

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070
Fan page : LeeyaSweetBites

Saturday 30 May 2015

Penghantaran Kek Jarak Jauh

Teks : Norlia Amat Mohtar

Assalamualaikum.

Saya masih berkira-kira untuk menggunakan perkhidmatan kurier untuk penghantaran kek. Setakat ini penghantaran jarak jauh dihantar oleh belas ihsan cik abang. Itu pun tunggu waktu lapangnya dan hujung minggu. Tempahan semua di  sekitar beberapa kawasa  sahaja.

Disebabkan permintaan semakin meningkat dan jarak juga semakin jauh. Saya perlu memikirkan pula cara penghantaran yang lebih efektif dan selamat. Banyak juga yang terpaksa ditolak gara-gara penghantaran yang agak tidak mengizinkan.

Sudah dapat juga review daripada senior-senior bakers mengenai kurier yang boleh dipercayai dan yang penting kek selamat sampai ke pelanggan dengan selamat. 

Hari ini cik abang hantar kek ke Pajam seawal pagi. Pelanggan pula dari Seremban. Setelah berbincang masing-masing setuju untuk berjumpa di susur keluar Tol Pajam. Walaupun tidak begitu sukar bagi saya tetapi mungkin agak sukar bagi si pelanggan. Saya merasakan perlu ada perkhidmatan yang lebih memudahkan pelanggan supaya pelanggan tidak terbeban dengan perkhidmatan kita. Serta mahu untuk terus setia membeli pada masa hadapan. Ini yang perlu saya titikberatkan.

Saya akan review kurier yang akan saya gunakan pada entri yang akan datang. Ini kek yang ditempah oleh pelanggan saya dari Seremban.



Saya boleh dihubungi melalui :

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070
Fan pages : LeeyaSweetBites


Friday 29 May 2015

Berhenti atau Bertukar Kerjaya

Teks : Norlia Amat Mohtar

Assalamualaikum.

Sejak akhir-akhir ini ada banyak juga sahabat-sahabat jauh yang bertanya sama ada saya sudah berhenti kerja. Pelik mungkin sejak dua menjak ini banyak status saya di facebook yang lebih kepada bisnes dan hobi berbanding dulu yang lebih fokus kepada keluarga dan anak-anak.

Apa yang perlu dijawap ya. Saya sebenarnya tidak pernah berhenti kerja. Mana mungkin saya akan berhenti kerja. Saya cuma bertukar tempat kerja dan kerjaya sahaja. Kalau dulunya saya bekerja dengan adanya bos yang bertingkat-tingkat dan sekarang sayalah bos tu malahan sayalah kuli dan supir itu. Kalau dulu rakan kerja saya mungkin dalam 90 orang untuk satu jabatan tetapi sekarang rakan kerja saya beratus ribu orang di seluruh Malaysia. Hehehe. Sampai ke banyak tu? Begitulah umpamanya.

Saya bekerja sendiri atau berbisnes sendiri dan mengembangkan daya imaginasi dan kreativiti yang sekian  lama terpendam. Mungkin ada rakan-rakan yang tidak bersependapat dengan saya memandangkan kerja dulu lebih bersifat profesional. Gaji juga sudah lumayan dan juga jaminan wang persaraan di usia emas. Tetapi saya tetap untuk memilih jalan yang tidak pasti untung nasib. Bisnes berisiko sangat besar dan tidak untuk mereka yang makan gaji. Itu hak mereka jadi buatlah apa-apa pekerjaan yang mereka suka. Asalkan hati bahagia.

Nikmati setiap saat yang diberi. Saya gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang. Daripada bekerja berekperimentasi di makmal yang penuh dengan bahan kimia kepada berekperimentasi di dapur kecil yang penuh dengan bahan-bahan bakeri sangat tidak ada bezanya. Kalau dulu satu projek akan siap dalam masa 2 atau 3 tahun tetapi sekarang hasilnya lebih cepat. Dan yang penting dapat menggembirakan hati orang lain.

Apabila pelanggan yang menerima tempahan gembira dengan hasil kerja, kepuasan itu memberi inspirasi untuk melakukan yang terbaik. Boleh dikatakan setiap masa dalam berbaking akan selalu gementar walaupun sudah biasa melakukannya. Bahan-bahannya sama, tetapi hasilnya mungkin berbeza. Ya..saya juga manusia biasa terkadang melakukan kesilapan.

Saya tidak akan pernah berhenti kerja selagi Allah mengizinkan. Mudah-mudahan saya terus diberi kesihatan yang baik untuk terus berbisnes dan membantu memberi peluang pekerjaan kepada orang lain.

Saya boleh dihubungi melalui :

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070
Fan page : LeeyaSweetBites

Thursday 28 May 2015

Spiderman Kek Karot Walnut

Teks : Norlia Amat Mohtar


Assalamualaikum.

Hari ini ada sambutan hari jadi di tadika anak sulung saya. Sambut hari jadi beramai-ramai dari bulan Jan-Jun. Jadi ibu pun bercadang untuk buat kek karot walnut sebab kek ni mendapat sambutan yang hangat di dapur kecil. 

Tanya abang dia nak kek deco apa? Terus dia jawap nak kek Spiderman. Selalu buat saat-saat akhir kalau untuk ahli keluarga. Terus cari dekat kedai jual barang bakeri semua sudah tidak ada stok edible image spiderman. Ibu hampir kecewe sehingga tergerak untuk pergi ke Farm Bakers. Nasib baik ada. Edible image spidermannya sangat cantik dan terang. Puas hati. Nak tempah mmg tak sempat. Selalunya kalau nak tempah perlu sehari awal.

Anak lelaki saya memang sangat suka figura spiderman ni. Bukan setakat spiderman, malahan banyak lagi seperti ultraman, superman dan ironman. Banyak gaya-gaya berlawan yang selalu digayakan sampai ibu pening kepala tengok. Panjat sofa, lompat dari tangga, panjat kerusi dan macam-macam lagi.

Aduhhh.. anak sulungku dah semakin besar. Cepat sungguh masa berlalu. Masih terngiang-ngiang tagisan semasa dia masih bayi. Alhamdulillah, syukur. Allah memberi izin kepada kami memiliki anugerah yang tidak ternilai ini.

Ibu dan papa sentiasa mendoakan semoga abang menjadi anak yang baik, soleh dan sentiasa mentaati perintah Allah. Tekun belajar dan berjaya di dunia dan akhirat. Belajarlah ilmu apa sekali pun sesunggunya ilmu Allah itu maha luas. Kami tidak akan mengatur kerjaya hidup mu tetapi akan membantu kamu melihat dunia.

Jadi inilah hasilnya kek karot walnut untuk anakku Muhammad Wazif.





Saya boleh dihubungi melalui :

Email : norlia.amatmohtar@blogspot.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070
Fan page : LeeyaSweetBites

Wednesday 27 May 2015

Tips Untuk Menyukat Bahan-Bahan Cecair Semasa Baking

Teks : Norlia Amat Mohtar

Assalamualaikum.


Hari ini pula saya akan kongsikan bagaimana untuk menyukat bahan cecair dalam proses baking. Cawan penyukat yang paling sesuai untuk menyukat cecair adalah yang mempunyai muncung dan bersengat serta diperbuat daripada plastik atau kaca. Ini kerana semasa menyukat kita boleh melihat dengan jelas cecair pada sengat atau garisan yang ada pada cawan penyukat tersebut berbanding jika menggunaka cawan metal. Cara untuk menyukat cecair adalah secara miniskus atau mata sama aras dengan garisan  cawan penyukat dan cecair tersebut. Jika sukatan cecair adalah sedikit boleh menggunakan sudu penyukat.

Air
Banyak juga resepi yang memerlukan kita untuk menambah air di dalam adunan. Cara menyukat air adalah secara miniskus iaitu mata kita perlu selaras dengan garisan penyukat. Jika cecair yang digunakan agak likat seperti susu pekat cuba untuk menyukat secara miniskus sebaik mungkin.

Vanilla
Esen vanilla pada kebiasaannya digunakan pada kuantiti yabg sedikit. Jadi bolehlah menggunakan sudu penyukat yang sudah mempunyai ukuran tertentu. Tetapi perlu dipastikan tangan tidak mengeletar supaya tiada lebihan sukatan.

Minyak
Cara menyukat minyak juga adalah sama seperti cara menyukat air. Tetapi perlu juga dipastikan cawan yang digunakan betul-betul kering tanpa sebarang air. Jika terdapat air ia akan mengganggu ukuran dan menyebabkan sukatan tidak tepat.

Cara menyukat bahan-bahan bakeri sangat penting. Ini kerana jika terlebih menggunakan bahan-bahan tertentu akan menyebabkan kek tak jadi, keras, bantat atau tak gebu. Contohnya jika terlebih menggunakan bahan cecair kek kita akan mendap dan tidak naik. Manakala jika kita terlebih menggunakan tepung akan menyebabkan kek menjadi berat dan tidak gebu.


Saya boleh dihubungi melalui:

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070
Fan page : LeeyaSweetBites

Tuesday 26 May 2015

Tips Untuk Menyukat Bahan-Bahan Kering Baking

Teks : Norlia Amat Mohtar


Assalamualaikum.


Hari ini saya ingin berkongsi bagaimana untuk menyukat bahan-bahan kering dengan betul untuk membuat kek, cupcakes dan pastri. Saya dulu pun buat juga banyak kesilapan terutama dalam menyukat bahan-bahan kering. Kalau boleh satu cawan tu, sukat semua bahan tak kira kering atau cecair. Nak mudahkan. Akhirnya kek tak jadi. Tetapi kalau dah biasa dan memang profesional boleh sahaja nak agak-agak. Bagi yang baru bermula atau sekadar hobi bolehlah guna tips ini ya.

cawan penyukat yang sepatutnya digunakan untuk menyukat bahan kering adalah cawan yang berbentuk leper di bawahnya dan tidak mempunyai muncung. 

Tepung
Selalunya tepung disukat dengan menyudu tepung kedalam cawan penyukat sehingga penuh dan diratakan bahagian atas cawan dengan menggunakan belakang pisau atau benda panjang yang rata. Jangan sesekali menghentak cawan penyukat atau menggunakan cawan penyukat terus menyeduk tepung. Ini berkemungkinan akan menyebabkan terlebih sukatan.

Gula Pasir
Senduk terus cawan penyukat ke dalam bekas gula dan ratakan dengan menggunakan belakang pisau.

Gula Perang
Gula perang kebiasaannya adalah lebih lembab dan tumpat berbanding gula pasir. Maka cara menyukatnya juga adalah berbeza. Sudukan gula perang ke dalam cawan penyukat dan tekan dengan menggunakan jari sehingga padat.

Baking Powder
Sukat baking powder dengan menggunakan sudu penyukat. Caranya dengan menguraikan dahulu baking powder dengan menggunakan sudu di dalam bekasnya dan kemudian senduk dengan sudu penyukat. Ratakan sudu penyukat dengan belakang pisau.

Semoga tips yang saya kongsikan dapat membantu.

Saya boleh dihubungi melalui:

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070
Fan page : LeeyaSweetBites

Sunday 24 May 2015

Diari Bisnes Bakeri Dirumah : Jatuh Tersungkur

Teks : Norlia Amat Mohtar


Assalamualaikum.


Hari ini saya terjumpa dengan seorang kawan sekolah menengah semasa berurusan di Maybank. Lama juga tidak berjumpa dengan kawan ini. Dia juga seorang yang sangat suka berbisnes. Pernah juga dulu dia mengajak saya untuk berbisnes bersama dia semasa saya baru mengenjak ke alam pekerjaan. Tapi itulah, memang sudah tertulis rezeki saya bukan untuk bekerjasama dengan dia. Saya katakan kepada dia dulu, "Saya belum bersedia untuk berbisnes apatah lagi untuk melabur". Saya masih tiada ilmu dalam bidang ini.

Jika dulunya dia seorang yang sangat bergaya dengan kereta mewah dan duit yang bekepuk-kepuk. Alhamdulillah nikmat Allah beri kepada dia pada waktu itu. (Nota: Saya tidak tahu duitnya sebanyak mana cuma selalu ditayangkan duit bertimbun di dalam fb beliau). Tetapi sekarang semuanya hangus lebur. Habis terbakar sana-sini. Hutang keliling pinggang. Rumah-tangga juga bergegaran angkara hutang. Ya, memang dia menanggung kerugian yang amat besar disebabkan orang atasannya cabut lari setelah mendapat sasaran jualannya. Rambut memang sama hitam hati lain-lain. Tidak takutkah mereka dengan azab Allah di akhirat nanti. Atau mungkin dia sendiri yang tidak benar-benar cukup ilmu dalam bidang yang di ceburinya. Hanya dia dan Allah yang tahu.

Inilah dia penangan bisnes yang harus ditempuhi oleh insan yang berkecimpung dalam dunia bisnes. Jika tersilap percaturan memang merana. Ada masa kita untung besar dan ada masa nak jual satu barang pun payah. Kesabaran dan ketekunan dalam berbisnes amat penting. Yang penting jangan putus asa. Tiada istilah gagal dalam kamus bisnes yang ada cuma kerugian. Itu adalah kerugian dia buat masa sekarang.

Saya nampak untuk bangun semula memang agak payah untuk beliau. Moral, emosi dan semangat semua terganggu. Untuk kawan tersebut, saya doakan semoga dia diberi kekuatan untuk bangun dan melangkah semula. Bermulalah dengan bisnes yang mudah memberi pulangan dan memerlukan kos yang sangat rendah seperti jual air tepi jalan, dropship atau trading barang keperluan harian. Jangan asyik nak fikir jual barang-barang yang glemer dan ada standard sahaja. Bagi saya standard itu tidak penting, yang penting ada aliran tunai yang masuk setiap hari bagi meningkatkan motivasi diri. Selamatkan semangat diri dulu, baru kita boleh melangkah lebih jauh.

Ini mungkin teguran dari Allah untuk beliau supaya melihat kekhilafan diri. Saya juga pernah dijentik oleh Allah dengan diturunkan penyakit Bell's Palsy. Penyakit ini megakibatkan sebelah kanan muka jatuh ke bawah atau senget. Moral sememangnya jatuh ke lantai untuk berjumpa dengan orang memang jauh sekali. Ada sahabat yang mahu berziarah tetapi saya menghalang. Saya sangat malu pada ketika itu. "Bagaimana untuk berbisnes dengan muka sebegini", kata saya selalu dalam hati. Rupanya Allah mengkehendaki saya bermuhasabah diri dan sentiasa mengingati-Nya setelah banyak nikmat yang diberikan. Dia mahu saya berserah dan menghambakan diri kepada-Nya. Dan hasilnya, rezeki yang datang lebih mudah selepas itu. Pasti ada hikmat disetiap musibah yang diturunkan.

Semoga memberi manfaat kepada kawan saya itu.




Saya boleh dihubungi ;

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com

Fanpage : LeeyaSweetBites

Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070

Saturday 23 May 2015

Resepi Cheesecake Klasik


Teks : Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi


Assalamualaikum.

Seperti yang dijanjikan hari ini saya ingin kongsikan resepi untuk membuat cheesecake klasik yang mudah dan cepat. Walaupun mudah yang penting sangat sedap dan lazat yang pastinya sentiasa mendapat sambutan hangat. Nak bocor rahsia sikit, saya ni seorang yang kalau boleh semua benda yang nak senang buat. Lagi-lagi yang kurang guna bahan dan peralatan. Penyediaan sangat mudah dan cepat cuma semasa baking perlu masa yang panjang dan perlu disejukkan sekurang-kurangnya 3 jam. Jadi kena buat awal ya. 

Mari kita lihat bahan-bahan yang saya guna untuk membuat cheesecake ini.

Bahan-bahan

1 1/2 cawan biskut (Marie, Oreo atau Hup Seng)
3 sudu besar gula
1/3 cawan butter cair

900 g Philadelphia cream cheese
1 cawan gula
1 sudu teh esen vanila
4 biji telur

Cara-cara penyediaan

1. Untuk membuat crust hancurkan biskut kemudian campurkan butter cair dan gula. Gaul dan sebatikan semua bahan dan masukkan kedalam loyang yang sudah digris. Tekan sehingga padat.

2. Putar cream cheese yang telah dilembutkan dan gula sehingga kembang dan tidak berketul. Masukkan esen vanila dan putar sekejap.

3. Masukkan telur dan putar perlahan sehingga sebati. Sebentar sahaja, jangan terlalu lama ya.

4. Adunan yang telah licin dimasukkan kedalam loyang tadi.

5. Sebelum bakar perlu dibalut loyang dengan menggunakan aluminium foil supaya butter cair tidak keluar dan air stim tidak masuk ke dalam loyang. Bakar dengan menggunakan air stim pada suhu 140C selama 2 jam.



Selamat memcuba.


Saya boleh dihubungi melalui :

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019.2693070


Friday 22 May 2015

Tips untuk mendapat cheesecakes yang cantik

Teks : Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.

Mesti ramaikan orang suka makan cheesecake. Ditambah dengan aroma dan dekorasi yang cantik pasti ada yang tergoda. Saya yang dulunya tidak berapa gemar dengan cheese pun sudah mula berjinak-jinak dengan cheese ini. Habislah program kurangkan berat badan nanti.

Oklah, jadi hari ini saya ingin kongsikan sedikit tips yang boleh digunakan untuk membuat cheesecake yang sedap dan gebu.


1. Sebelum preheat oven, rak perlu diletak dibahagian tengah oven supaya kek yang dibakar nanti berada ditengah. Kemudian bolehlah preheat oven selama 10-15 minit.

2. Griskan bahagian tepi dan bawah loyang untuk mengelakkan crust retak semasa proses penyejukkan. Selalunya crust cheesecake akan lekang sendiri dari loyang.

3. Bagi mendapatkan hasil yang baik seeloknya guna cream cheese dan sour cream yang biasa (atau jika resepi memerlukan penggunaan cream cheese dan sour cream yang kurang lemak atau tiada lemak barulah guna ya)

4. Bagi menggelakkan ketulan cheese pula, cream cheese perlu dilembutkan selama 30 minit sebelum diputar. Jika terlalu keras, adunan tidak akan licin selepas diadun.

5. Adunan tidak boleh berketul sebelum telur dimasukkan. Telur perlu dipukul perlahan sehingga sebati. Jika terlebih pukul udara akan masuk ke dalam adunan. Kesannya kek akan mengembang dan tenggelam semasa baking dan retak setelah masak.

6. Loyang yang digunakan perlulah dibungkus dengan aluminium foil untuk mengelakkan butter mengalir keluar atau air masuk ke dalam crust.

7. Buka pintu oven seminimum mungkin terutama 30 minit pertama.

Setakat ini perkongsian hari ini. Resepi cheesecake klasik lagi mudah akan saya kongsikan kemudian.



Saya boleh dihubungi melalui :
7Email : norlia.amatmohtr@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 0192693070

Thursday 21 May 2015

Menangani Kehendak Pelanggan

Teks : Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.

Pelanggan sangat penting bagi sesuatu bisnes. Jika tiada pelanggan maka tiadalah urus-niaga bisnes. Sehebat manapun marketing yang dijalankan tetapi jika tiada pelanggan yang mahu membeli produk kita pun tiada gunanya. Jadi bagi saya kepuasan pelanggan itu sangat penting.

Hari ini saya dapat tempahan kek yang agak lain dari sebelumnya daripada pelanggan setia. Ya..pelanggan saya ini adalah seorang yang sangat meminati keju. Jadi dia menempah cheesecake yang di masukkan kedalam bekas dan di curahkan dengan keju meleleh diatasnya. Wow..memang kaya sungguh dengan keju.

Kita perlu melakukan yang terbaik untuk memenuhi permintaan pelanggan. Ini kerana jika pelanggan suka dengan perkhidmatan yang kita beri pasti dia akan kembali lagi. Kalau diikutkan ramai yang membuat produk yang sama dimana pelanggan boleh memilih mana-mana pembekal yang diingini. Tetapi jika kita mampu memberi perkhidmatan dan produk yang menepati kehendak pelanggan dan memudahkan urusan mereka, pasti pelanggan tersebut tidak keberatan untuk membeli lagi produk kita. Mereka juga boleh menjadi iklan bergerak untuk produk kita nanti.

Di dalam bisnes hanya 20% sahaja pelanggan yang berulang membeli. Jadi seboleh-bolehnya cuba tambat hati yang tergolong dalam golongan 20% ini. Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menambat hati pelanggan setia ini seperti boleh beri hadiah percuma atau potongan harga. Mereka pasti suka kerana dihargai.

Sampai disini dulu, nanti saya kongsikan lagi pengalaman berbakeri di rumah ini ya. 




Saya boleh dihubungi melalui:

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070


Wednesday 20 May 2015

Testimoni Kelas Asas Blog dan Fanpage

Teks : Norlia Amat Mohtar
Gambar : Sumber google


Assalamualaikum

Diam tak diam sudah tiga dekad lebih usia ini. Pejam celik pejam celik rupa-rupanya sudah tujuh bulan saya menjadi working at home mom (WAHM). Banyak suka, duka, tangis dan tawa yang ditempuhi sepanjang tempoh ini. Menguruskan anak-anak sambil bekerja memang bukan sesuatu yang mudah tetapi ini jalan yang saya pilih demi untuk membesarkan anak-anak tanpa jagaan orang lain.

Menyingkap kenangan apabila saya buat pertama kali menyatakan hasrat untuk berhenti kerja kepada teman sepejabat, pelbagai respon yang diterima. Rakan-rakan rapat menggalakkan tetapi bagi mereka yang lain mengkritik hebat keputusan yang saya buat. Ada yang kata saya tidak fikir panjang, buat keputusan terburu-buru, mana boleh berniaga dengan anak-anak kecil dan bermacam-macam lagi. Bagi mereka tiada istilah ibu bekerja dari rumah. Saya pula pada masa itu, hanya senyum dan pergi. Tidak mahu memanjangkan atau bertengkar dengan mereka. Biarkan sahaja. Itu pandangan mereka. 

Mulai dari saat itu saya berusaha untuk memajukan diri sendiri. Saya ada terfikir berkemungkinan ada komuniti bagi WAHM ini tetapi langsung tidak tergerak hati untuk mencari di internet sehinggalah saya terbaca satu artikel yang di tulis oleh salah seorang ahli WAHM atau lebih dikenali sebagai Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Tertarik dengan perkongsian artikel tersebut saya terus mencari artikel-artikel berkaitan dengan ABDR dan cara untuk mendaftar sebagai ahli. Di situlah titik mula saya bersama ABDR. Saya kemudian diperkenalkan dengan Cikgu Zaila Mohamad bagi penulisan blog dan fanpage. Di bawah bimbingan guru online saya diajar untuk membina blog yang berpengaruh, menggunakan bahasa yang betul dan menulis dari hati. Saya juga diajar untuk membina fanpage untuk beriklan dan berniaga.

Bagi saya membina sebuah blog adalah mudah, tetapi untuk menjadikan blog tersebut berpengaruh itu yang sukar. Di dalam kelas ini juga saya banyak diberi tips-tips yang mudah dan seterusnya membantu saya menulis dan berkongsi ilmu dengan orang lain. Sering kali kami diingatkan, niat untuk menulis bukan untuk menunjuk-nunjuk atau syok sendiri. Menulis kerana ilmu dan dapat dikongsikan bersama. Banyak sebenarnya yang saya dapat pelajari daripada yuran yang tidak seberapa ini. Sangat berbaloi. Pelajar diwajibkan untuk menulis sebanyak 44 entri di dalam blog sebagai tugasan. Ada rahsia di sebalik 44 entri ini, supaya enjin carian senang mengesan blog kita. Tetapi bukan hanya 44 entri sahaja, lagi banyak kita menulis lagi tinggi kedudukan blog kita di enjin carian. Kan seronok bila orang google sahaja berjela-jela nama blog kita keluar. Itulah fungsi asas 44 entri tersebut.




Bagi saya guru-guru yang mengajar sangat komited, tidak lokek ilmu dan bersedia membantu. Ini kerana apabila belajar dalam talian masa pelajar membuat tugasan adalah sangat tidak menentu. Acap kali guru online memberitahu penjenamaan diri amat penting dalam bisnes yang berpaksikan alam maya ini. Kita mungkin tidak kenal siapa pelanggan dan dari mana mereka datang, jadi jika kita menggunakan penjenamaan diri kita sendiri dengan mudah pelanggan akan megingati kita berdasarkan perkongsian di dalam blog. Jadikan setiap entri yang kita kongsikan sebagai kad bisnes dengan meninggalkan nombor untuk dihubungi. Perkara sebegini jika saya tidak menjadi ahli ABDR memang saya tidak akan ambil pusing. Padahal inilah cara yang sebenar berbisnes dengan menggunakan blog. 

Secara keseluruhannya, saya sangat berterima kasih kepada pengasas ABDR, Pn. Masayu Ahmad kerana telah mengasaskan Akademi Bekerja Dari Rumah. Komuniti ini benar-benar sangat membantu suri-suri yang mahu menjadi WAHM yang mungkin mereka tidak tahu mahu bermula dari mana. Segala perkongsian dapat membantu insan yang baru bertatih sebagai WAHM seperti saya. Saya juga berharap lebih ramai ibu-ibu diluar sana untuk bekerja dari rumah dan mendidik sendiri anak-anak, memandangkan semakin ramai muda-mudi terjebak dengan pelbagai gejala yang tidak sihat. Didikan sepatutnya bermula dari rumah dan kita tidak boleh mengharap kepada guru-guru untuk mengajar anak-anak kita semata. Marilah kita sama-sama membina masa hadapan.

Jika anda berhajat untuk turut serta dan belajar bagaimana untuk membina blog dan fanpage berpengaruh bolehlah bergabung dengan kami. Disamping dapat menjadi ahli ABDR yang akan menyokong diantara satu sama lain bagi WHAM. Di sini kami akan berkongsi cerita dan pengalaman untuk menjadi panduan kepada yang lain. Jika mahu berniaga tetapi tidak tahu dimana mahu bermula, pilihlah untuk bersama kami. Terdapat beberapa pakej kelas asas blog yang boleh dipilih mengikut keselesaan. Boleh terus berhubung dengan saya berkaitan pakej yang ditawarkan.

Saya boleh dihubungi melalui :

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070

Tuesday 19 May 2015

Resepi Kek Karot Yang Sedap


Teks : Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi peribadi


Assalamualaikum.

Hari ini saya nak kongsi resepi kek yang lebih sihat. Dalam resepi kek karot ini saya menggunakan kurang gula sebanyak 30% daripada resepi asal dan juga saya lakukan sedikit modifikasi. Hasilnya adalah kek karot yang sedang-sedang sahaja manisnya. Terdapat kismis dan karot yang memberi rasa manis buah serta walnut yang membantu meninggalkan kesan yang berbeza pada setiap suapan. Ayat tak menahan gitu! Kalau nak lagi sihat boleh dikurangkan lagi kandungan gulanya. Tidak akan memberi kesan kepada kek cuma kek menjadi kurang manis. 


Mari kita lihat bahan-bahan yang digunakan:

250g - Tepung naik sendiri 
125g - Butter (Buttercup/Anchor/Mark)-Kalau nak sedap lain macam gunalah butter asli
175g - Minyak masak/jagung
100g - Gula pasir
100g - Gula Perang
4 bj - Telur
1/4 sudu teh - Garam
1/4 - Sudu Teh - Serbuk Kayu Manis
1 1/2 Cawan - Karot
100g - Walnut
1/2 Cawan - Kismis


Cara-cara penyediaan


  1. Cairkan butter dan ayak tepung, serbuk kayu manis dan garam sebanyak 2/3 kali.
  2. Pukul telur, gula perang dan gula pasir sehingga kembang dan tidak berketul.
  3. Masukkan tepung sedikit-sedikit sambil diputar perlahan sehingga sebati.
  4. Tambahkan minyak dan butter cair -, sebatikan adunan dengan menggunakan kaedah kaub-balik.
  5. Akhir sekali masukkan karot, walnut dan kismis kedalam adunan - sebatikan,
  6. Bahagikan kepada dua bahagian dan bakar dengan menggunakan loyang 8x8 in selama 35 minit pada suhu 160C. Untuk mengetahui kek sudah masak cucuk mengunakan lidi. Sejukkan dengan menggunakan redai. Ulangi proses yang sama untuk bahagian kedua.

Selamat Mencuba


Saya boleh dihubungi melalui :

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 0192693070

Monday 18 May 2015

Sarapan Kek Coklat Boleh Kurus!

Teks : Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi
Sumber : The Telegraph


Assalamualikum.


Menarik ke tidak tajuk entri kali ini? Mesti ramai yang terujakan. Agak tertarik untuk berkongsi cerita mengenai sarapan kek coklat boleh kurus ini. Macam sukar untuk percaya dengan bersarapan bersama kek coklat boleh menurunkan berat badan. Ok tidak mengapa. Ingat lagi pada Dato' Fazley atau lebih popular dengan panggilan abang "Asmara Ini" atau program Masterchef. Baru-baru ini dia ada keluar dalam rancangan bual bicara dan dia nampak kurus dari yang sebelumnya. Pengacara pun sedar dan tanya rahsia dia kurus. Dia kata dia makan kek coklat setiap pagi, tetapi mengurangkan separuh kandungan gula di dalam kek tersebut. Oh! Ini menarik. Mesti cuba.

Saya pun tertanya-tanya bagaimana kek coklat ini boleh mengurangkan berat badan! Menurut kajian yang telah dijalankan, waktu pagi adalah masa yang paling sesuai untuk mengambil kek coklat. Ini kerana pada waktu pagi kadar metabolisma badan sangat aktif dan dapat membakar kalori dengan banyak. Pengambilan coklat dan gula yang terdapat di dalam kek coklat tersebut dapat membantu meningkatkan kadar metabolisma tersebut.

Sarapan pagi sangat penting untuk memberi tenaga, merangsang otak berfungsi dengan baik dan sebagai "kick-start" metabolisma badan yang sangat mustahak bagi pembakaran kalori. Sarapan pagi yang baik adalah makanan yang boleh menghasilkan ghrelin iaitu sejenis hormon lapar. Kebiasaannya hormon ghrelin akan meningkat sebelum sarapan dan menghasilkan rasa lapar manakala akan direnjat semasa makan sarapan pagi.

Pada kebiasaan pengambilan sarapan pagi yang disarankan bagi mereka yang berdiet adalah sekitar 300 kalori. Walaubagaimanapun, mengikut kajian yang dijalankan, dengan pengambilan kalori yang sedikit tinggi sekitar 600 kalori beserta kek coklat sebagai pencuci mulut. Ini bukan sahaja baik untuk badan malah bagus untuk mengurangkan keinginan makan makanan sampingan. Kawalan yang sangat ketat semasa diet termasuk menghalang makanan manis dan berkabohidrat akan menyababkan mereka mudah berputus-asa terhadap plan makanan yang telah ditetapkan. Kebanyakkan mereka ini akan mengalami peningkatan berat badan yang lebih drastik daripada semasa dalam program diet. 

Jadi apalagi, bolehlah dicuba program diet dengan mengguakan kek coklat pula. Bulan puasa semakin hampir, raya pula bakal menyusul. Bulan yang penuh dengan rendang, lemang, dodol, dll., yang pasti kita akan meningkatkan berat badan tanpa sedar. 






Saya boleh dihubungi melaui :

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 0192693070



Sunday 17 May 2015

Tips Untuk Bermula Bisnes Kecil-Kecilan Di Rumah

Teks : Norlia Amat Mohtar


Assalamualaikum.


Perkongsian kali ini adalah bagaimana saya bermula bisnes kek secara kecil-kecilan di rumah. Memang belum berjaya sepenuhnya tetapi saya sedang dalam fasa "survival". Tiga tahun pertama adalah fasa yang sangat kritikal bagi setiap perniagaan. Manakala bisnes pertama, mungkin tidak akan berjaya juga lebih tinggi kerana kita baru bermula dan tiada lagi ilmu bisnes yang kukuh, mungkin cara pemasaran kita yang lemah atau produk yang ingin kita jual tiada permintaan. Apabila bisnes kita telah mencapai usia 6 bulan, dan masih tidak nampak peningkatan, perlu disemak semula dimana silapnya.

Untuk memulakan sesuatu bisnes sebenarnya bukan mudah. Bagi saya ia lebih kepada proses mengambil duit orang lain yang memerlukan khidmat atau produk kita. Perkara utama yang perlu diteliti adalah duit  siapa sebenarnya yang mahu kita ambil. Maksudnya kita sasarkan siapa pembeli barang atau perkhidmatan kita. Seboleh-bolehnya jangan kita cari produk dahulu, cari masalah orang yang boleh kita selesaikan.

Kemudian senaraikan barang-barang atau perkhidmatan yang sesuai dan diperlukan oleh pembeli tersebut. Kata orang bijak pandai dalam marketing, "Jual barang keperluan harian yang paling biasa yang ada di rumah-rumah". Apa-apa barang harian. Contohnya seperti roti, lampin pakai buang, makanan, dll. Mulakan dengan modal yang sangat minima sebab kita baru hendak bermula. Seminima yang mungkin. Jika rugi tidaklah teruk sangatkan. Jika saya mahu memulakan bisnes bakeri, saya guna sahaja barang-barang yang memang sediaada di rumah seperti oven, mixer, loyang dan lain-lain. Duit yang saya perlukan adalah untuk membeli bahan-bahan mentah. Itupun saya minta wang pendahuluan daripada pelanggan tanda komitmen mereka. Bukannya apa, sekiranya tidak berjaya urusan jual beli tersebut tidaklah kita rugi terutama yang berbisnes dalam bidang pembuatan ini.

Marketing sangat penting semasa berbisnes. Jika orang tidak tahu kita menjual, masakan mereka mahu membelikan. Oleh itu, gunalah marketing yang betul untuk bisnes kita. Pada zaman yang serba serbi canggih ini, tetdapat banyak iklan yang percuma dan tidak memerlukan kita berjumpa pelanggan setiap hari. Semuanya boleh dibuat di alam maya. Contoh-contoh iklan yang tidak berbayar adalah seperti blog, fan page, fb dan insta. Blog boleh dijadikan sebagai kedai online kita. Kedai dan iklan sebegini amat sesuai bagi orang yang pemalu seperti saya tetapi masih mahu berniaga. Jadi saya tidak perlu untuk berjumpa dan memujuk pelanggan setiap hari untuk menjual.

Setakat ini sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Jangan malu jangan segan jika kita baru bermula. Jangan sesekali bandingkan kita dengan peniaga yang telah lama berbisnes, nanti kita kecewa dan putus-asa. Sebaiknya jadikan mereka contoh/guru dan kita perlu berada di landasan yang betul. Inshaa Allah kita juga akan berjaya seperti mereka. Diharap entri kali ini dapat membantu sesiapa yang baru untuk memulakan perniagaan pertama.


Saya boleh dihubungi melalui:

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 0192693070



Saturday 16 May 2015

Kek Karot Semperna Hari Guru.

Teks : Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.

Tanggal 16 Mei setiap tahun adalah Hari Guru. Selamat hari guru kepada insan-insan mulia ini yang pernah mendidik, merotan dan memdenda Ku suatu ketika dulu. Didikan kalian telah menjadikan siapa saya kini. Alhamdulillah. Terima kasih tidak terhingga kepada tok-tok guru (Online, Marketing dan Jahitan) yang sudi mencurah ilmu, mudah-mudahan ilmu ini dapat membantu orang lain yang memerlukan. Aminn.

Semperna Hari Guru, ada juga sedikit rezeki untuk kami insan yang digelar baker. Alhamdulillah, syukur. Pintu rezeki itu luas bagi orang yang berusaha. Kekadang kita tidak nampak bagaimana rezeki itu datang tetapi jika yakin dan berusaha pasti ianya tertulis untuk kita. Saingan yang hebat tidak menjadi masalah yang penting hubungan kita dengan Allah terjaga. Inn Shaa Allah, Allah akan murahkan rezeki tersebut.

Buat masa ini kek yang paling banyak saya buat adalah kek karot. Kek karot ini bagi saya agak remeh penyediaan bahan-bahannya. Tetapi disebabkan rasa yang agak lain dan sedap banyaklah pelanggan yang ulang pesanan. Rata-rata memberi respon yang positif. Jika ada kekurangan akan saya jadikan pedoman dan pengajaran untuk memperbaiki hasil pembuatan.

Tempahan kek karot kali ini adalah dari Cikgu Khalid untuk cikgu-cikgu di Khalifah Model School.





Nota : Resepi Kek Carot akan saya beri pada entri seterusnya ya.



Saya boleh dihubungi melalui:

Email : norlia.amatmohtar@blogspot.com
Whatsapp (Sahaja) : 0192-693070

Friday 15 May 2015

Kek Microwave Vs. Kek Oven

Teks : Norlia Amat Mohtar
Gambar : Sumber Google


Assalamualaikum.


Minggu lepas saya ada menonton satu program bual bicara di NTV7. Seorang chef selebriti sedang mempromosikan cafe yang baru dibuka. Salah satu hidangan manisan yang disediakan disitu adalah kek yang kurang gula. Maksudnya kurang manislah ya. Chef tersebut juga ada membuat demonstrasi cara untuk membuat kek coklat dan pavlova hanya dalam masa 3 minit. "Wow..cepatnya dia buat kek", kata hati kagum. 

Nak tahu macam mana chef boleh buat kek coklat dalam masa 3 minit? Jawapannya adalah sebab dia menggunakan khidmat mikrowave. Masa penyediaan 2 minit manakala baking cuma 1 minit. Memang cepat jika menggunakan mikrowave tetapi saya tidak begitu teruja untuk menggunakan alat canggih ini. Ini kerana terdapat kesan sampingan kepada kesihatan untuk jangka masa panjang mengikut kajian-kajian yang telah dijalankan oleh pusat-pusat penyelidikan antarabangsa.

Jadi entri kali ini saya ingin kongsikan sedikit maklumat berkaitan kesan jangka panjang penggunaan mikrowave dalam pembuatan kek, roti atau kegunaan harian. 



Penggunaan mikrowave boleh menyebabkan kesan berikut; 

  • Memusnahkan Nutrisi Dalam Makanan. Menurut Dr. Joseph M. Mercola, seorang "physician dan surgeon" dalam penulisannya, memanaskan makanan dengan menggunakan mikrowave akan menghapuskan nutrisi yang terdapat di dalam makanan tersebut. Gelombang yang terhasil akan bergetar dengan laju, meresap kedalam makanan, mengubah stuktur molekul dan sekaligus memusnahkan nutrisi makanan tersebut.

  • Memusnahkan Susu Ibu dan Vitamin B-12. Kajian yang telah diterbitkan dalam Journal of Agricultural and Food Chemistry mendapati vitamin B-12 yang terdapat dalam makanan mentah seperti daging dan susu akan hilang sebanyak 30-40 % jika dipanaskan dengan menggunakan mikrowave.

  • Menghasilkan Karsinogen/Toksik Dalam Makanan. Makanan yang dipanaskan dan dibungkus dengan plastik akan menghasilkan bahan kimia toksik seperti BPA, PET, benzena, toulena dan xylena yang sangat bahaya kepada kesihatan. Kajian dilakukan oleh penyelidik Jerman dan Russia.

  • Boleh Mengubah Kandungan Sel Darah. Penyelidik di Swiss Clinical Study mendapati penggunaan mikrowave boleh mennyebabkan sel darah merah berkurang dan meningkatkan sel darah putih dan kolestrol. Peningkatan sel darah putih boleh membawa kepada penyakit leukimia.

  • Mengubah Kadar Degupan Jantung. Jika terdapat simtom degupan jantung yang tidak sekata atau sakit dada dan pada masa yang sama banyak memakan makan yang dimasak dengan menggunakan mikrowave disarankan untuk berhenti. - Dr. Magda Havas, Trent University.


Sedikit perkongsian dari saya. Tidak pernah ada mikrowave di rumah kerana kesan jangka panjang yang sangat tidak bagus untuk kesihatan. Semoga dapat memberi manfaat kepada semua.


Saya boleh dihubungi melalui :

norlia.amatmohtar@gmail.com

Thursday 7 May 2015

5 Sebab sebab Kek Tak Jadi

Teks : Norlia Amat Mohtar


Assalamualaikum..

Hari ini saya nak kongsi beberapa sebab kek yang kita buat tidak menjadi. Mesti kecewa bila kita teruja nak buat kek, tapi kek yang kita buat tak menjadi, tak gebu atau kering. Bak kata En. Suami dulu-dulu, "Baling anjing pun matilah sayang". Aduhhh..sakitnya tuh disini. Hahaha..Tetapi kalau kita dan selalu buat mesti dah boleh agak apa yang tidak kena dengan kek yang kita buat.

Ok. Mari kita cuba rungkai kemusyikilan ini


1. Kek Kecut Tengah


  • Selalu terjadi bila kita menggunakan suhu oven yang terlalu rendah. Penyelesaian : Cuba periksa suhu oven yang digunakan dengan menggunakan termometer oven untuk memastikan suhu oven kita sama dengan suhu yang disarankan.
  • Kek belum masak sepenuhnya terutama dibahagian bawah dan tengah kek dan menyebabkan kek tenggelam di bahagian tengah.
  • Terlalu banyak menggunakan air akan menyebabkan kek berat dan tidak naik sepenuhnya.


2. Kek berbukit atau merekah di tengah

  • Suhu oven terlalu tinggi
  • Adunan terlebih pukul setelah dimasukkan tepung. Sebaiknya adunan dipukul sekejap dengan kelajuan perlahan sehingga sebati atau hanya menggunakan kaedah kaub balik sahaja.
  • Berkemungkinan menggunakan tepung gandum berprotein tinggi, atau lain kali boleh cuba menggunakan tepung gandum berprotein rendah.


3. Kek Berat atau Tidak Gebu

  • Gula dan butter tidak dipukul lama sehingga betul-betul gebu
  • Sama ada terlalu banyak menggunakan gula, tepung, dan butter atau kurang menggunakan bahan pengembang (Cth :  serbuk penaik atau soda bikarbonat)


4. Kek Kering
  • Disebabkan suhu oven terlalu tinggi
  • Loyang yang digunakan terlalu besar. Sepatutnya gunakan loyang yang boleh mengisi adunan kek separuh sehingga 3/4 tinggi loyang.


5. Kek Berkerak Hitam


  • Menggunakan terlalu banyak gula yang menyebabkan kerak mudah kecoklatan.
  • Menggunakan loyang berwarna hitam, sebaiknya guna loyang aluminium. Loyang berwarna hitam cenderung untuk menyerap lebih haba berbanding loyang aluminium. Ini menyebabkan kek cepat masak dan kering jika menggunakan masa pembakaran yang sama.

Saya boleh dihubungi melalui 

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 0192693070

Wednesday 6 May 2015

Coretan Balik Kampung : Kita Merancang, Allah Menentukan

Teks : Norlia Amat Mohtar

Assalamualaikum.

Seperti biasa jika hujung minggu cuti panjang, kami sekeluarga akan pulang ke kampung di Bagan Datoh. Tidaklah jauh mana, jika tiada kesesakkan 3/4 jam sudah sampai. Tetapi disebabkan ramai juga yang sama-sama memeriahkan jalan raya secara berjemaah jadi perjalanan kami terkandas di Kuala Selangor. Ohhhh.. 8 jam kami baru sampai Kuala Selangor ye. Mungkin kami perlukan 8 jam lagi untuk sampai ke kampung. Tak boleh jadi macam ni, badan sudah letih, kaki sudah kejang jadi kami pun berhenti untuk bermalam sahaja di Kuala Selangor. 



Beberapa hotel yang kami tanya sudah penuh di tempah. Ramai sungguh orang bercuti kali ni menggalahkan cuti raya. Penat pusing-pusing pekan Kuala Selangor terjumpalah satu hotel, nasib baik ada satu bilik kosong. Alhamdulillah. Di sinilah kami bermalam di Sea Lion Hotel. Hotel ini berkonsepkan kunang-kunang atau dalam Bahasa Inggeris “Firefly Concept”. Namapun Kuala Selangor memanglah sangat sinonim dengan kunang-kunangkan.




Hotel yang sederhana, wifi percuma, kedai makan bersebelahan dan staf yang peramah walaupun penat melayan karenah pelanggan yang ramai dan pelbagai ragam. Paling seronok mestilah sebab ada kolam renang. Jarang jumpa hotel bajet yang ada kolam renang. Tetapi yang main kolam anak-anaklah, mak ayah jadi pemerhati sudahlah. Puas hati dapat tengok anak-anak bergembira walaupun percutian ini tidak dirancang. Kita hanya mampu merancang dan Allah yang mengatur segala-galanya. Alhamdulillah.



Berbalik kepada hotel berkonsep kunang-kunang ni, penggunjung dapat melihat kunang-kunang sepanjang masa di dalam hotel ini terutama di dalam bilik. Hahaha.. Seronok bukan! Kalau bawa anak-anak kecil mesti mereka sangat teruja. Cara untuk menikmati keindahan kunang-kunang ini pun mudah, baring atas katil dan pandang siling. Mesti nampak kunang-kunang berkelip-kelip sambal bertukar warna ada putih, kuning, hijau, biru dan ungu. 

Eh! Kunang-kunang boleh tukar-tukar warna ke?

Sebenarnya mereka menggunakan lampu-lampu kecil yang di letakkan di siling untuk menjadi kunang-kunang tiruan. Anak-anak saya suka sangat tengok lampu-lampu ini berkelip-kelip sambil bertukar warna persis kunang-kunang. Sambil baring melihat siling, saya pun boleh mengajar pelbagai warna dengan anak-anak. Lagi seronok dan anak pun mudah hafal berbanding buku.

Keesokkan hari, jalan pun sudah lenggang dan kami pun terus memandu balik. Alhamdulillah cuma dalam masa 2 jam selamat sampai dan dapat melihat kegembiraan atuk nenek dengan kedatangan cucu-cucu mereka. Senyuman yang ikhlas menyambut kepulangan kami. Syukur. Allah masih sudi meminjamkan ibu bapa ini kepada ku walaupun kesihatan sudah agak merosot. Alhamdulillah. Mudah-mudahan diberi nikmat yang melimpah ruah untuk membahagiakan kedua ibubapa ini. Aminnn. 



Saya boleh dihubungi melalui :

Email : norlia.amatmohtar@gmail.com
Whatsapp (Sahaja) : 019-2693070



Sunday 3 May 2015

Resepi kek coklat lembab Mudah

Teks : Norlia Amat Mohtar
Gambar : Koleksi peribadi




Assalamualaikum wbt.

Hari ini saya ingin kongsi resepi kek paling ramai peminat iaitu kek coklat lembab versi bakar. Resepi ini tidaklah susah kerana sukatan hanya dengan mengunakan cawan sahaja. Jadi bagi sesiapa yang tak ada penimbang bolehlah cuba ya.


Bahan-bahan yang diperlukan

Bahan A

3/4 cawan serbuk koko (ikut suka jenama apa boleh saja)
1 cawan gula pasir
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat

Bahan B (Perlu diayak sebanyak 2/3 kali)

1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder

Bahan C

1 sudu teh essen vanila
3 biji telur gred A

Bahan D

1 ketul buttercup (250g) - perlu dicairkan terlebih dahulu 
{Nak lagi sedap bolehlah guna butter alsi seperti SCS, Anchor, Tatura, dll) 


Cara Penyediaan.


  1. Campurkan semua bahan A di dalam periuk dan panaskan dengan api perlahan sehingga semuanya larut dan sejukkan.
  2. Kemudian telur dipukul sehingga kembang. Telur perlu naik 3 kali ganda dari yang asal.
  3. Tuangkan bahan A dan asen vanila ke dalam telur yang telah kembang dan pukul pada kelajuan rendah sehingga sebati.
  4. Masukkan bahan B sedikit-sedikit dan pukul lagi pada kelajuan rendah sehingga sebati
  5. Dengan menggunakan spatula masukkan bahan D dan sebatikan secara kaub balik.
  6. Setelah siap bolehlah dimasukkan kedalam loyang 8 in dan dibakar selama 45-50 min pada suhu 160 C.
  7. Oven perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 15-20 min.

Nota tambahan : Saya suka bakar 2 kali maksudnya saya akan bakar separuh dulu dan kemudian bakar separuh lagi. Sebabnya kek akan cepat masak dan mengelakkan kek kering pada bahagian atas walhal bahagian bawah masih belum masak. 

Selamat  Mencuba dan Berekperimentasi.




Saya boleh dihubungi melalui :

Email : norli.amatmohtar@gmail.com

Saturday 2 May 2015

Pertama kali bertemu dengan ABDR

Teks : Norlia Amat Mohtar


Assalamualaikum.


Mari berkongsi pengalaman bersama-sama. Sejujurnya saya tidak pernah mengetahui langsung berkenaan Akademi Berkerja Dari Rumah (ABDR) atau Working At Home Mom (WAHM), iaitu satu komuniti yang menyokong satu sama lain bagi sesiapa yang bekerja dari rumah yang kebanyakkannya adalah golongan ibu. Pertama kali terbaca mengenai ABDR adalah dari salah seorang ahli ABDR bulan lepas tetapi saya sudah lupa empunya nama jadi saya namakan dia sebagai Mama A. Mama A minta maaf banyak-banyak, sungguh cepat pelupa rupanya diri ini.

Kenapa saya tertarik untuk membaca kisah Mama A?, kerana saya amat teruja dengan pengalaman beliau. Beliau sanggup melepaskan jawatan sebagai jurutera selama 10 tahun untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak yang sedang membesar. Apabila tuntutan kerja meningkat dan memerlukan beliau sering keluar daerah telah membuatkan beliau mengambil keputusan untuk berhenti dan memulakan perniagaan dari rumah.

Kisah Mama A telah memberikan saya peluang untuk mengenali ABDR dari lebih dekat dan menjadi salah seorang daripada ahlinya. Banyak ilmu yang telah diperolehi daripada komuniti ini. Bak kata orang, dari tiada apa-apa kepada lebih berilmu. Alhamdulillah. Cikgu yang mengajar juga sangat komited dan yang lebih penting waktu belajar mengikut jadual kita. Tiada paksaan dalam menimba ilmu selagi ada laptop dan internet dimana-mana pun boleh belajar. Ahli-ahli ABDR juga tidak lokek ilmu membantu bagi sesiapa yang baru mula bertatih.

Kuncinya adalah ilmu dan guru yang betul. Apa yang penting, kenal pasti potensi diri, cari guru yang memang mahu membantu dan bantulah diri sendiri untuk berjaya. Laburkanlah sedikit wang untuk ilmu kerana setiap ilmu tidak datang bergolek hatta ilmu daripada pengalaman sendiri. Berani memcuba dan sentiasa ambil risiko yang telah diramal.

Oleh itu, ABDR adalah tempat yang sangat sesuai bagi ibu-ibu yang mahu mula bekerja dari rumah, disamping mempunyai masa yang banyak untuk menjaga dan mendidik anak-anak sendiri. 


Hubungi saya melalui ;

norlia.amatmohtar@gmail.com

Friday 1 May 2015

Idea Kek Yang Merepek

Teks : Norlia Amat Mohtar


Assalamualaikum.


Semalam semasa menghantar anak ke tadika terdengar kisah Krappi Call di Hitz FM. Kelakar betul idea untuk mengenakan pendengar bertuah. Krappi Call ini sama konsepnya macam Hot fm Panggilan hangit. Tergelak-gelak sendiri dalam kereta, mesti pelik orang tengok. Tetapi tak mengapalah, itu saya di pagi hari.

Idea Krappi Call kali ini adalah untuk mengenakan seorang pengusaha kek. Seorang pembeli yang merupakan warga Jepun ingin menempah kek yang berkonsepkan Malaysia. Pengusaha kek pun mencadangkan untuk membuat kek span pandan tetapi warga jepun mahu kek nasi lemak dan kek nasi kandar yang baginya lebih bersifat keMalaysiaan. Macam mana pula tu?

Saya bila dengar permintaan yang sebegitu telah berlegar-legar di kepala untuk membuat kek span yang ditengahnya dilapisi dengan sambal ikan bilis bersama dengan hirisan telur dan timun. Manakala bahagian luar dicurahkan sambal cili yang merah menyala dan dibahagian atasnya di hiasi dengan rendang ayam, bilis goreng, telur rebus, kacang tanah goreng dan timun. Ermmm.. Ada yang teringin kek macam ni? Hahaha.

Itu adalah idea yang merewang-rewang di benak kepala. Saya pasti semua orang juga ada idea yang gila-gila untuk dicapai atau dibuat tetapi bila kita tidak tuliskan idea tersebut sebagai matlamat, semuanya akan mudah hilang dan dilupakan. Untuk mencapai sesuatu impian sebaik-baiknya tulis semua impian yang kita mahu, tidak mengapa jika impian tersebut agak mengarut dan mustahil kerana setiap impian tersebut jika disusuli dengan tindakan yang gila-gila dan berterusan, In Shaa Allah akan tercapai, dengan izin Allah. Yang pasti mesti ada impian dan tindakan yang luar biasa. Motivasi saya untuk hari ini.


Impian-Usaha-Doa-Tawakal.



Hubungi saya melalui:

Email: norlia.amatmohtar@gmail.com